Perbezaan Jurnal Berwasit dan Jurnal Tidak Berwasit

Jurnal merupakan satu rekod pengalaman, idea atau refleksi yang disimpan secara tetap untuk kegunaan peribadi. Dalam konteks jurnal akademik, ia merujuk kepada satu bentuk penerbitan yang merakamkan hasil penemuan saintifik melalui kajian-kajian yang dilakukan oleh para sarjana dalam bidang-bidang yang tertentu. Setiap jurnal mempunyai penerbitnya yang tersendiri. Terdapat juga jurnal yang bernaung di bawah badan-badan akademik tertentu seperti universiti dan kolej. Secara umumnya, jurnal boleh dibahagikan kepada dua bentuk iaitu jurnal berwasit dan jurnal tidak berwasit.

Apakah yang membezakan jurnal berwasit dengan jurnal tidak berwasit? Jurnal berwasit bermaksud setiap artikel yang diterbitkan telah melaui proses perwasitan (review) oleh pakar yang dilantik oleh pihak jurnal, biasanya melibatkan 2-5 orang pewasit bagi setiap artikel. Mereka merupakan pakar dalam bidang yang menjadi topik utama artikel tersebut. Terdapat jurnal yang meminta cadangan nama pewasit daripada penulis artikel, namun pemilihan akhir para pewasit adalah terletak pada pihak jurnal sendiri. Proses perwasitan dilakukan secara double blind review, iaitu pihak penulis dan pewasit saling tidak kenal mengenali antara satu dengan yang lain. Ini bagi memastikan proses perwasitan itu adalah telus dan tidak berat sebelah. Oleh sebab itu, semasa menghantar artikel, kebanyakan penulis diminta untuk menghilangkan segala identiti mereka yang boleh dikenali oleh pihak pewasit. Terdapat juga jurnal yang meminta penulis mengekalkan identiti mereka dalam teks artikel, tapi pihak jurnal sendiri yang akan memadamkannya sebelum teks itu dihantar kepada para pewasit.

Proses perwasitan ini biasanya mengambil masa antara sebulan sehingga 4 bulan bergantung kepada jurnal. Malah, terdapat juga penulis menunggu sampai setahun. Setiap artikel yang diwasitkan akan dipulangkan kembali kepada penulis dengan keputusan sama ada diterima tanpa pembaikan, diterima dengan pembaikan sama ada minor ataupun major ataupun ditolak langsung.

Jurnal tidak berwasit pula merupakan jurnal yang tidak mewasitkan artikel yang diterbitkannya. Ini bermaksud artikel yang dihantar kepada jurnal ini tidak akan dirujuk kepada pakar dalam topik artikel itu untuk mengesahkan dan menilai kualiti penulisan. Ini juga bermakna penerbitan dalam jurnal sebegini adalah lebih mudah daripada penerbitan di jurnal yang berwasit. Perkara ini kerap berlaku dalam penerbitan buletin dan majalah. Proses penyuntingan artikel mungkin hanya dilakukan oleh pihak editor jurnal tersebut sahaja dan mungkin hanya membabitkan aspek teknikal dan bahasa. Terdapat juga jurnal yang menawarkan pilihan kepada penulis sama ada mahu  mewasitkan artikel yang dihantar ataupun tidak. Maka dalam keadaan ini, pilihan adalah di tangan penulis.

Posted in artikel jurnal | Tagged , , | Leave a comment

Panduan mencari jurnal yang sesuai dengan artikel

1)Melalui pangkalan data.

2)Melalui laman web publisher, sebagai contohnya penerbit Taylor and Francis dan Sage. Namun penulis perlu memastikan status jurnal terlebih dahulu kerana tidak semua jurnal yang tersenarai dalam laman web penerbit tersebut bertaraf SCOPUS atau ISI.

3)Melalui laman web universiti yang menerbitkan artikel.

4)Melalui laman web jurnal yang memaparkan ruangan related journals.

5)Melalui artikel jurnal yang dibaca dan dirujuk.

6)Melalui senarai bibliografi dalam artikel yang dibaca. Penulis juga boleh melihat artikel-artikel lain yang cite bahan tersebut melalui google scholar.

7)Melalui nama tokoh dalam bidang tersebut. Buat carian dalam database ataupun google scholar.

8)Melalui cadangan daripada pensyarah dan rakan. Tanya judul jurnal yang mudah untuk menerbitkan artikel.

9)Buat carian bebas melalui laman web ataupun jurnal bercetak.

Posted in artikel jurnal | Tagged , | Leave a comment

TIPS MENULIS ARTIKEL JURNAL

TIPS MENULIS ARTIKEL JURNAL

Setelah memperihalkan aspek-aspek teknikal berkaitan dengan penerbitan artikel jurnal, saya suka pula membincangkan beberapa tips dalam penulisan artikel jurnal. Namun, kepelbagaian bentuk kajian dan bidang menjadikan penulisan artikel itu berbentuk rencam dan pelbagai. Oleh itu, saya akan berkongsikan tips-tips umum sahaja yang boleh digunakan sebagai panduan oleh kepelbagaian bidang tadi, insyaAllah.

Tips umum

Pertama sekali, anda sebagai penulis perlu mempunyai modal jika anda mahu berniaga. Penulisan artikel adalah buah daripada hasil kajian yang anda lakukan. Oleh itu, anda perlu mewujudkan modal itu dahulu sama ada melalui kajian sendiri, kajian kerjasama dengan organisasi ataupun kumpulan.

Anda juga perlu mengenali bidang kepakaran yang menjadi kekuatan anda seperti sosio linguistik, psikolinguistik, psikologi pendidikan, kurikulum, korpus, kontrastif dan sebagainya. Anda juga mungkin sahaja pakar dalam bidang ekonomi dan juga sains. Namun, bidang-bidang ini juga mempunyai sub-sub kepakaran masing-masing. Anda tidak boleh terlalu tamak kerana anda tidak akan mampu untuk menjadi pakar dalam semua bidang. Penulisan artikel yang berkualiti memerlukan fokus dan penelitian dalam literatur yang melibatkan aspek teori serta aplikasi. Bagi membina penguasaan literatur, ia memerlukan masa dan melibatkan pembacaan serta penelitian yang teliti. Anda mungkin boleh menjimatkan masa dalam perkara ini dengan membuat perkongsian pintar dengan pakar. Mungkin para profesor ataupun pelajar Ph.D dan sarjana boleh memandu anda dalam pembacaan literatur. Anda boleh sahaja memohon bantuan mereka dari segi teori dan literatur, namun anda pula mengepalai kajian aplikasinya.

Perkara ini juga biasa berlaku apabila melibatkan projek kajian yang besar. Seorang pakar dari Amerika Syarikat mungkin akan meminta bantuan kepakaran di Malaysia bagi mengepalai pengumpulan maklumat di bahagian Asia Tenggara yang boleh menyempurnakan satu kajian yang berskala besar. Inilah yang dinamakan sebagai kajian kolaborasi dan suasana menang-menang pun dapat diwujudkan antara para pengkaji. Seorang profesor dalam bidang kejuruteraan mungkin sahaja memerlukan bantuan literatur daripada seorang sarjana dalam bidang perubatan ababila kajiannya melibatkan rentas disiplin ilmu. Dengan cara ini, perkongsian kepakaran akan berlaku dan ilmu juga akan berkembang merentasi bidang.

Anda perlu mengenali tokoh dalam bidang penulisan anda. Perkara ini akan membolehkan anda melihat trend perbincangan dan perbahasan semasa dalam bidang tersebut, mengkaji corak perbahasan yang diterima oleh pihak jurnal serta boleh menjejaki nama jurnal yang menerbitkan artikel tersebut. Anda juga boleh merujuk kepada penulisan tokoh tersebut seterusnya dapat meningkatkan lagi mutu akademik penulisan anda.

Anda juga perlu mengkaji corak penulisan dan trend semasa kajian berkaitan dengan bidang anda. Kajian yang baik belum tentu akan diterbitkan oleh jurnal berimpak tinggi sekiranya perbahasan itu sudah lapuk dan sudah tepu. Ini kerana impak yang mampu dihasilkan adalah kurang kerana pengkaji sudah tidak membincangkan perkara itu lagi.

Anda juga perlu mengenali jurnal yang berpotensi menerbitkan hasil penulisan anda. Jurnal-jurnal berimpak tinggi khususnya yang terindeks dalam ISI Tomson dan SCOPUS sangat menitikberatkan skop penulisan. Sekiranya skop penulisan artikel itu terkeluar daripada skop jurnal, maka ia akan ditolak tanpa diwasitkan.

Binaan sebuah artikel

Sesebuah artikel akademik biasanya terdiri daripada tajuk, abstrak, pendahuluan, metodologi, dapatan kajian, perbincangan, rumusan dan cadangan, penutup dan senarai rujukan. Saya akan membincangkan perkara ini secara umum supaya ia dapat dimanafaatkan oleh semua.

Tajuk

Tajuk artikel haruslah ringkas, jelas dan melambangkan perbahasan utama artikel. Tajuk yang baik seeloknya menarik perhatian ramai untuk membacanya.

Abstrak

Abstrak artikel perlu mengandungi pendahuluan ringkas tentang kajian. Selepas itu, penulis perlu menerangkan objektif utama dan objektif terperinci kajian. Sekiranya objektif itu melebihi dua perkara, penulis boleh mempertimbangkan penggunaan nombor bagi menjelaskan perkara ini. Selepas itu, metodologi kajian perlu dijelaskan dengan terperinci. Ia melibatkan reka bentuk kajian, populasi serta kaedah persampelan. Penulis juga perlu menyenaraikan dapatan kajian secara ringkas mengikut turutan objektif kajian tadi. Penggunaan nombor juga mungkin boleh dipertimbangkan sekiranya objektif itu melebihi dua perkara. Abstrak kajian juga perlu disertakan secara ringkas implikasi kajian terhadap amalan semasa ataupun sumbangan kajian terhadap badan ilmu. Jumlah bilangan perkataan dalam abstrak adalah bergantung kepada jurnal. Ada yang menetapkan tidak melebihi 100 patah perkataan, namun kebiasaannya adalah antara 100 sehingga 300 patah perkataan. Sekiranya bilangan abstrak melebihi atau berkurangan daripada jumlah yang ditetapkan, maka kebiasaannya pihak jurnal akan memulangkan artikel itu kembali kepada penulis untuk diperbaiki. Malah ada jurnal yang menetapkan format tertentu dalam penulisan abstrak. Perkara ini bergantung kepada pihak jurnal.

Pendahuluan

Pendahuluan artikel perlu mempunyai latar belakang kajian serta teori yang mendasari kajian tersebut. Penulis juga perlu menjelaskan kajian-kajian terdahulu yang pernah membincangkan persoalan yang serupa. Ini bagi membolehkan pembaca melihat kedudukan kajian terbaru ini dalam badan ilmu. Seterusnya, penulis perlu membentangkan pernyataan masalah kajian yang mendorong kajian itu dilakukan. Begitu juga, apakah bentuk sumbangan kajian baru ini terhadap badan ilmu secara keseluruhannya. Kemudian, penulis perlu menyatakan persoalan kajian ataupun hipotesis kajian. Nombor mungkin boleh diperimbangkan sekiranya persoalan kajian itu melebihi satu. Kesemua elemen ini harulah diletakkan di bawah pendahuluan dan dibezakan oleh perenggan yang berbeza. Bahagian ini perlu diringkaskan dan biasanya tidak melebihi 3 halaman. Citaton yang cukup perlu dilakukan penulis bagi menunjukkan bahawa penulis telah menguasai literatur secukupnya. Sebaiknya juga segala perbahasan perlulah dirujuk kepada sumber rujukan utama dan bukannya diambil dari sumber yang kedua seperti penulisan tesis dan sebaginya. Sebagai contohnya, jika penulis bercakap mengenai Teori Piaget, maka rujukan sepatutnya menggunakan buku Piaget itu sendiri dan bukannya tesis atau buku orang lain yang datang selepas itu.

Metodologi

Pada bahagian ini, penulis perlu menjelaskan reka bentuk kajian yang digunakan sepeti kajian eksperimen, tinjauan, kajian kes, action research, kajian etnografi, kajian campuran metode (mixed method), analisis dokumen ataupun kajian kepustakaan. Penulis juga harus menerangkan latar belakang populasi, teknik persampelan, jumlah bilangan sampel kajian serta rasional bilangan tersebut, pemilihan responden dan juga lokasi kajian yang terlibat. Selain itu, penulis juga harus menerangkan bentuk-bentuk instrumen yang digunakan, serta teknik kesahan dan kebolehpercayaan instrumen yang penulis gunakan. Bagi kajian kualitatif pula sebagi contohnya, penulis harus menerangkan apakah teknik kesahan yang digunakan seperti teknik kesahan Cohen Kappa dan sebagainya. Sekiranya penulis menggunakan akronim, maksud akronim tersebut perlu dijelaskan. Penulis juga perlu menerangkan bentuk teknik analisis yang digunakan seperti penggunaan Statistical Package for the Social Sciences (SPSS), Rasch Model, Structural Equation Modelling (SEM) dan sebagainya.

Dapatan kajian

Seeloknya, dapatan kajian perlu disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya para pembaca dan penilai dapat mengaitkannya dengan persoalan kajian yang disebut terlebih dahulu. Persembahan data juga perlu mengikut standard jurnal. Kebanyakan jurnal menggunakan standard The American Psychological Association (APA), namun terdapat juga jurnal yang menggunakan format yang lain. Oleh itu, penelitian kepada format penulisan yang digariskan oleh setiap jurnal akan sedikit sebanyak membantu para penulis. Begitu juga, penulis boleh juga melihat contoh artikel yang telah diterbitkan oleh jurnal tersebut bagi mendapatkan gambaran kasar tentang jangkaan pihak jurnal. Bagi data kualitatif pula, terdapat jurnal yang lebih menggemari teknik naratif berbanding teknik persembahan data sebenar. Oleh itu, perkara ini adalah subjektif dan bergantung kepada setiap jurnal. Walaupun begitu, corak persembahan data ini haruslah teliti, jelas dan tersusun.

Perbincangan

Bahagian ini menunjukkan penguasaan penulis dalam membincangkan isu utama penulisan. Seeloknya perbincangan ini disusun mengikut susunan persoalan kajian supaya pembaca dapat fokus dan mengaitkannya dengan dapatan. Penulis perlu membincangkan persoalan kajian secara kritis satu persatu berpandukan dapatan kajian dan ulasan literatur yang mantap. Ia juga perlu disokong oleh teori dan kajian-kajian yang lepas. Seterusnya, penulis harus merumuskan apakah bentuk penemuan baru atau penemuan yang menyokong dapatan terdahulu yang menyumbang kepada badan ilmu dan amalan semasa. Perbincangan perlu ditulis secara sistematik, akademik dan tidak meleret-leret. Setiap pernyataan harus diperkuatkan dengan bukti yang boleh diambil daripada kajian-kajian yang lepas. Elakkan membuat pernyataan secara ‘syok sendiri’ tanpa disertakan buktinya. Apa yang penting, perbincangan seharusnya dalam bentuk yang akademik.

Kesimpulan dan cadangan

Dalam bahagian ini, penulis harus membuat rumusan secara ringkas tentang kajian yang dilakukan dan apakah bentuk sumbangan kajian tersebut kepada badan ilmu. Penulis juga harus mengemukakan cadangan-cadangan baru yang terhasil daripada penemuan kajian yang dilakukan. terhadap keadaan semasa.

Penutup

Dalam bahagian ini, penulis harus mengemukakan secara ringkas tentang kajian yang dibuat, penemuan-penemuan yang penting dan implikasi kajian. Penulis harus mengelakkan diri  daripada membuat citation baru.

Rujukan

Penulis harus memastikan bahawa setiap citation yang dibuat dalam teks harus disebut dalam bahagian rujukan. Penggunaan perisian-perisian tertentu seperti EndNote boleh membantu penulis dalam perkara ini. Senarai rujukan juga perlu ditulis berdasarkan format yang telah ditetapkan. Seeloknya, penulis perlu meluangkan masa untuk membaca Guide for authors yang disediakan oleh pihak jurnal terlebih dahulu. Ini kerana jurnal berlainan menggunakan format yang berlainan pula. Dalam penulisan artikel, penulis perlu memperbanyakkan penggunaan rujukan yang terkini, seboleh-bolehnya 60 peratus terdiri daripada bahan yang berumur kurang daripada 5 tahun daripada tahun artikel itu ditulis. Terdapat juga jurnal yang menghadkan bilangan rujukan bagi setiap artikel. Sebagai contohnya, Gema Online Journal hanya membenarkan penggunaan 30 rujukan bagi setiap artikel yang dihantar.

Posted in artikel jurnal | Tagged , | 7 Comments

Bersama Surah Ar-Rahmaan siri 1

Pendahuluan

Sudah lama saya tidak menulis. Terasa kaku pula tangan ini untuk menaip. Namun, desakan rasa mahu menulis itu membuak-buak lantaran sudah sekian lama kudrat itu tidak dikerah.

Saya mencapai al-Quran di sebelah. Sudah kelihatan debu-debu menemani kulit luarnya. Tanda ia sudah lama tidak dibelai. Saya terus menerjah ke juz dua puluh tujuh. Di sana, saya ketemui Surah Ar-Rahman. Surah itu sudah sekian lama menjadi topik perbincangan dalam usrah mingguan di kejiranan kami. Hasil perbincangan menyimpulkan bahawa surah ini memiliki pengertian yang sungguh mendalam. Ia mencabar akal pemikiran moden dan penemuan sains. Sudahlah susun atur bahasanya luar biasa indah. Jika diamati pula maknanya, maka makin terserlah mukjizat surah ini.

Dalam beberapa siri tulisan ini, saya akan berkongsi tentang beberapa persoalan tentang surah Ar-Rahmaan. Semoga ia mampu membuka akal dan menjernihkan jiwa kita semua terhadap kebesaran Allah taala.

Ar-Rahmaan

Surah ini dimulakan dengan Ar-Rahmaan. Salah satu daripada nama-nama Allah yang utama. Sifat Ar-Rahmaan menunjukkan kasih sayang Allah kepada seluruh hambanya. Kasih sayang itu dapat dirasai oleh keseluruhan makhluk sama ada manusia, jin, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan juga segala-galanya yang bernama makhluk. Malah, sifat ini juga dapat dinikmati oleh segolongan manusia yang kufur dan engkar kepada keesaan Allah. Malah, kerap kali kita dapat melihat golongan ini mendapat nikmat yang melimpah ruah di atas muka bumi ini. Walaupun secara zahirnya, kelihatan ia terhasil daripada usaha mereka secara fizikal, namun ketentuan akhir rezeki itu sebenarnya hanya Allah yang menentukan. Sifat kasih sayang Allah ini tidak memilih siapa beriman dan siapa kufur kerana hakikatnya Allah taala dengan sifat ini menyayangi kesemua makhluknya di atas muka bumi ini. Tiada usaha daripada makhluknya, biarpun sekerdil mana fizikalnya akan dibiarkan Allah berlalu begitu sahaja tanpa ganjaran. Apatah lagi apabila cukup segala syarat serta sebab dan musabab pemberian rezeki itu. Sungguh, sifat penyayang Allah dapat dirasai dalam segenap ruang kehidupan kita. Tutuplah mata kita sambil merenung sifat penyayang Allah ini. Tiada makhluk yang dijadikan Allah terbiar, hidup tanpa makanan dan tempat berlindung. Hatta ulat di dalam batu sekalipun mempunyai rezeki yang telah ditetapkan Allah. SubhanAllah.

Sifat Penyayang Allah inilah yang menjadi asas utama perbincangan Surah Ar-Rahmaan. Malah atas asas inilah juga, surah ini dinamakan dengan Surah Ar-Rahmaan.

Bersambung.

Posted in Bersama al-Quran | Tagged , , | 1 Comment

Penggunaan bahasa Arab lisan dan hubungannya dengan strategi pengurusan sumber / Oral Arabic practice and its relationship with resource management strategies

Alhamdulillah, artikel terbaru saya telah diterbitkan di Gema Online Journal (SCOPUS).

Abstrak

Kursus bahasa Arab di Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan satu subjek elektif kepada pelajar peringkat ijazah sarjana muda. Kajian ini bertujuan mengkaji (1) tahap penggunaan bahasa Arab lisan dalam kalangan pelajar UiTM, (2) hubungan korelasi antara penggunaan bahasa Arab lisan dengan strategi pengurusan sumber yang terdiri daripada empat subkomponen iaitu strategi pengurusan masa dan pembelajaran, strategi pengurusan usaha, strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi mencari bantuan, dan (3) perbezaan penggunaan strategi pengurusan sumber dalam kalangan pelajar yang mempunyai tahap penggunaan bahasa yang berbeza. Kajian ini berbentuk kajian campuran antara kuantitatif dan kualitatif yang menggunakan satu instrumen soal selidik pembelajaran kendiri (self-regulated learning) dan temu bual pelajar. Data kuantitatif melibatkan seramai 455 orang sampel yang dipilih berdasarkan teknik persampelan rawak berstrata (stratified random sampling). Dapatan kajian menunjukkan bahawa (1) tahap penggunaan bahasa Arab lisan dalam kalangan pelajar adalah sederhana, malah penggunaan bahasa di luar kelas adalah lebih sederhana berbanding di dalam kelas, (2) terdapat hubungan korelasi yang signifikan antara tahap penggunaan bahasa Arab lisan dengan penggunaan strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi pengurusan masa dan pembelajaran, serta (3) terdapat perbezaan yang signifikan dalam penggunaan strategi belajar bersama-sama rakan dalam kalangan pelajar yang berbeza tahap penggunaan bahasa Arab lisan. Kajian ini mencadangkan agar tahap pengunaan strategi belajar bersama-sama rakan serta strategi pengurusan masa dan pembelajaran dapat dipertingkatkan supaya tahap penggunaan bahasa dalam kalangan pelajar juga meningkat. Antara lainnya, ia dapat dilakukan melalui aktiviti berkumpulan secara kolaboratif dan  juga penggunaan pembantu pembelajaran dalam kalangan pelajar.

 

Kata kunci: penggunaan bahasa Arab lisan, strategi pengurusan sumber, pembelajaran bahasa Arab, kemahiran lisan bahasa Arab, pembelajaran kendiri

Oral Arabic practice and its relationship with resource management strategies


Abstract

 

The Arabic course at Universiti Teknologi MARA (UiTM) Malaysia is an elective offered to first degree students. The objectives of this study are to investigate (1) the level of oral Arabic practice among UiTM students, (2) the correlation between oral Arabic practice and resource management strategies which consist of four sub components, namely, time and environment strategy, effort regulation strategy, help seeking strategy and peer learning strategy, and (3) the differences in the use of resource management strategies among students with different level of oral Arabic practice. This is a mixed method of quantitative and qualitative study using an adapted questionnaire of self-regulated learning strategies and interviews with students. The quantitative data were collected from 455 samples using the stratified random sampling technique. The study found that (1) students used moderately oral Arabic, and their practice outside the classroom was lower than inside the classroom, (2) there were significant correlations between oral Arabic practice and the use of peer learning strategy as well as time and study management strategy, and (3) there were significant differences in the use of peer learning strategy among students with different level of oral Arabic practice. This study suggests that the use of peer learning strategy as well as time and study management strategy have to be increased in order to increase the oral Arabic practice among students, such implementing collaborative grouping activities and using peer assistants which are officially selected among students themselves.

 

Keywords:  oral Arabic practice, resource management strategies, Arabic learning, oral Arabic skills, self-regulated learning

 

Ghazali Yusri, Nik Mohd. Rahimi, Parilah M. Shah, Wan Haslina Wah, & Muhammad Sabri Sahrir (2012). Penggunaan bahasa Arab lisan dan hubungannya dengan strategi pengurusan sumber Gema Online Journal of Language Studies, 12(2), 505-520.

 

pautan ke artikel penuh..http://pkukmweb.ukm.my/ppbl/Gema/GEMA%20vol%2012%20%282%29%202012/pp%20505_520.pdf

Posted in artikel jurnal | Tagged , | Leave a comment

Sedikit mengenai kemahiran bahasa

Dalam pengajaran kemahiran bahasa, kerap kali pelajar diperdengarkan dengan monolog atau percakapan seseorang mengenai hobi dan pekerjaannya, sedangkan dalam kehidupan sebenar, jarang sekali pelajar mempunyai peluang atau berhadapan dengan keadaan seseorang yang bercakap mengenai hal peribadi. Oleh itu, input kemahiran mendengar perlu menunjukkan aspek-aspek yang menjadi topik perbualan seharian penutur asal bahasa tersebut (Hill & Tomlinson, 2007).

Hill, D. A., & Tomlinson, B. (2007). Course book listening activities. In B. Tomlinson (Ed.), Developing materials for language teaching (pp. 364-374). London: Continuum.

Posted in Artikel ringkas | Tagged | Leave a comment

Bahan pembelajaran bahasa berasaskan pendekatan komunikatif

Dat (2007) mendakwa punca penolakan ramai pihak di banyak negara Asia terhadap pengajaran berasaskan pendekatan komunikatif adalah kerana bahan yang digunakan tidak sesuai dengan budaya setempat dan bukannya disebabkan oleh pendekatan tersebut. Beliau memberi contoh apa yang berlaku di Vietnam. Bahan pembelajaran yang digunakan membincangkan mengenai meter parking kereta dan mesin automatik, sedangkan perkara tersebut tiada dalam budaya masyarakat di Vietnam. Oleh itu, mereka tidak dapat menjiwai ataupun membayangkan perkara yang mereka sedang pelajari.

Dat, B. (2007). Materials for developing speaking skills. In B. Tomlinson (Ed.), Developing materials for language teaching (pp. 375-393). London: Continuum.

Posted in Artikel ringkas | Tagged , | Leave a comment