Bersama Surah Ar-Rahmaan siri 1

Pendahuluan

Sudah lama saya tidak menulis. Terasa kaku pula tangan ini untuk menaip. Namun, desakan rasa mahu menulis itu membuak-buak lantaran sudah sekian lama kudrat itu tidak dikerah.

Saya mencapai al-Quran di sebelah. Sudah kelihatan debu-debu menemani kulit luarnya. Tanda ia sudah lama tidak dibelai. Saya terus menerjah ke juz dua puluh tujuh. Di sana, saya ketemui Surah Ar-Rahman. Surah itu sudah sekian lama menjadi topik perbincangan dalam usrah mingguan di kejiranan kami. Hasil perbincangan menyimpulkan bahawa surah ini memiliki pengertian yang sungguh mendalam. Ia mencabar akal pemikiran moden dan penemuan sains. Sudahlah susun atur bahasanya luar biasa indah. Jika diamati pula maknanya, maka makin terserlah mukjizat surah ini.

Dalam beberapa siri tulisan ini, saya akan berkongsi tentang beberapa persoalan tentang surah Ar-Rahmaan. Semoga ia mampu membuka akal dan menjernihkan jiwa kita semua terhadap kebesaran Allah taala.

Ar-Rahmaan

Surah ini dimulakan dengan Ar-Rahmaan. Salah satu daripada nama-nama Allah yang utama. Sifat Ar-Rahmaan menunjukkan kasih sayang Allah kepada seluruh hambanya. Kasih sayang itu dapat dirasai oleh keseluruhan makhluk sama ada manusia, jin, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan juga segala-galanya yang bernama makhluk. Malah, sifat ini juga dapat dinikmati oleh segolongan manusia yang kufur dan engkar kepada keesaan Allah. Malah, kerap kali kita dapat melihat golongan ini mendapat nikmat yang melimpah ruah di atas muka bumi ini. Walaupun secara zahirnya, kelihatan ia terhasil daripada usaha mereka secara fizikal, namun ketentuan akhir rezeki itu sebenarnya hanya Allah yang menentukan. Sifat kasih sayang Allah ini tidak memilih siapa beriman dan siapa kufur kerana hakikatnya Allah taala dengan sifat ini menyayangi kesemua makhluknya di atas muka bumi ini. Tiada usaha daripada makhluknya, biarpun sekerdil mana fizikalnya akan dibiarkan Allah berlalu begitu sahaja tanpa ganjaran. Apatah lagi apabila cukup segala syarat serta sebab dan musabab pemberian rezeki itu. Sungguh, sifat penyayang Allah dapat dirasai dalam segenap ruang kehidupan kita. Tutuplah mata kita sambil merenung sifat penyayang Allah ini. Tiada makhluk yang dijadikan Allah terbiar, hidup tanpa makanan dan tempat berlindung. Hatta ulat di dalam batu sekalipun mempunyai rezeki yang telah ditetapkan Allah. SubhanAllah.

Sifat Penyayang Allah inilah yang menjadi asas utama perbincangan Surah Ar-Rahmaan. Malah atas asas inilah juga, surah ini dinamakan dengan Surah Ar-Rahmaan.

Bersambung.

This entry was posted in Bersama al-Quran and tagged , , . Bookmark the permalink.

One Response to Bersama Surah Ar-Rahmaan siri 1

  1. blackgalaxy says:

    🙂 terima kasih saudara😀, cantik peneranganya😀

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s