Penerbitan artikel jurnal: Satu catatan pengalaman (siri 31)

Jurnal berbayar vs jurnal percuma

Sebelum menghantar artikel ke mana-mana jurnal, seseorang penulis itu juga perlu mengetahui tentang kos penerbitan artikel. Ini kerana terdapat jurnal yang mengenakan sejumlah bayaran terhadap artikel yang hendak diterbitkan. Kebiasaannya, bayaran artikel itu dikira berdasarkan halaman artikel. Terdapat juga jurnal yang mengenakan bayaran sekiranya penulis berhasrat menerbitkan artikel mereka dalam halaman berwarna, namun mereka tidak mengenakan apa-apa caj sekiranya diterbitkan secara hitam putih. Selain itu juga terdapat jurnal yang mengenakan bayaran sekiranya penulis mahu menerbitkan secara hardcopy tetapi tidak mengenakan bayaran jika diterbitkan secara online. Kesemua ini bergantung kepada jurnal masing-masing.

Oleh itu, seseorang penulis harus mengambil tahu perkara ini sebelum menghantar artikel mereka kepada pihak jurnal. Banyak kali berlaku kepada sebahagian teman-teman saya yang menghantar artikel mereka ke jurnal, mereka hanya mengetahui bayaran itu pada peringkat akhir iaitu semasa artikel itu sudah hendak diterbitkan.

Sebahagian teman menyatakan bahawa penerbitan di jurnal berbayar adalah lebih mudah berbanding jurnal percuma atas faktor bayaran dan bisnes. Ini kerana tidak semua penulis mempunyai kewangan yang cukup untuk membayar bayaran yang dikenakan oleh pihak jurnal. Bayangkan sebahagian jurnal mengenakan bayaran sebanyak EURO20 bagi setiap helaian artikel!.

Sekiranya penulis mempunyai dana khas penyelidikan, jumlah itu mungkin boleh diambil daripada dana tersebut. Oleh itu, mungkin jurnal berbayar akan menerima jumlah manuskrip artikel yang kurang jika hendak dibandingkan dengan jurnal percuma. Namun, keadaan ini juga disumbangkan oleh prestij jurnal tersebut sama ada bertaraf SCOPUS, ISI Thomson ataupun jurnal berwasit biasa. Manakala jurnal percuma pula mungkin mempunyai jumlah masnuskrip yang lebih tinggi. Ini menjadikan pilihan penerbitan adalah lebih luas dan jumlah penolakan artikel juga mungkin bertambah tinggi.

Bahasa Inggeris

Boleh dikatakan semua jurnal peringkat antarabangsa menitikberatkan penggunaan laras bahasa Inggeris akademik yang tinggi dalam penerbitan mereka. Oleh itu, penulis harus memastikan bahasa Inggeris yang mereka gunakan adalah menepati mutu dan piawai bahasa yang ditetapkan. Sekiranya penulis menghadapi masalah dalam penulisan, maka saya mencadangkan agar mereka merujuk dahulu kepada pakar bahasa sebelum menghantar artikel mereka. Ini kerana, banyak kali artikel yang dihantar ditolak mentah-mentah oleh pihak jurnal kerana masalah bahasa. Usah terburu-buru, ambil masa untuk menghalusi bahasa.

Sebahagian jurnal menawarkan khidmat penyuntingan bahasa Inggeris kepada penulis. Terdapat juga badan-badan bebas yang memberikan khidmat yang sama. Malah, setiap artikel yang disunting oleh mereka, akan diberikan satu sijil pengesahan penyuntinga. Namun, saya harus mengingatkan tentang jumlah pelaburan yang harus diberikan, mungkin sahaja mencecah ratusan dolar Amerika. Penulis juga harus sedar bahawa penyuntingan bahasa itu bukan menjamin bahawa artikel mereka akan diterima oleh pihak jurnal!. Artikel itu tetap akan melalui proses perwasitan sebagaimana biasa. Oleh itu, kemungkinan artikel itu untuk ditolak tetap ada.

Plagiat

Penulis juga harus sensitif tentang isu plagiarism (plagiat) dan self plagiarism. Dalam bahasa mudah, aktiviti plagiat didefinisikan sebagai mengambil idea pihak lain dengan mendakwa ia adalah ideanya sendiri. Begitu juga mengambil hasil dapatan pihak lain tanpa memberikan kredit kepada penulis asal dan mendakwa hasil penemuan baru sedangkan ia merupakan hasil penemuan pihak lain sebelumnya[1].

Self plagiarism pula merupakan tindakan penulis mengulang penerbitan artikel sama seperti artikel yang telah diterbitkan. Tindakan ulang terbit ini mungkin tidak melibatkan kesemua bahagian artikel, namun ia mungkin membabitkan sebahagian besar artikel tersebut.

Saya secara peribadi sememangnya memahami isu plagiarism sejak dari awal lagi. Oleh itu, sayasangat berhati-hati dalam menyebut semu senarai rujukan yang dijadikan sandaran. Namun, saya kurang arif mengenai isu self plagiarism. Saya dahulunya berpendapat, bolehkah seseorang itu dianggap melakukan plagiat sedangkan tulisan itu adalah tulisannya dan ideanya sendiri.

Perkara ini timbul apabila satu artikel saya ditolak kerana terdapat beberapa perenggan yang hampir sama dengan artikel saya yang lain. Perenggan itu pula adalah pada bahagian pendahuluan dan metodologi. Sebenarnya agak sukar untuk kita hendak menjaga perkara ini kerana selalunya kajian kita adalah berlandaskan satu teori yang sama dan metodologi pula adalah seakan serupa.

Saya meminta pandangan seorang senior yang aktif menulis. Beliau juga bersetuju dengan pandangan saya bahawa agak sukar untuk seseorang penulis untuk mengelak perkara ini daripada berlaku. Bayangkan seorang profesor yang seluruh kehidupan akademiknya dihabiskan dengan mengkaji seekor lalat. Saya pasti artikel-artikel yang ditulisnya akan mempunyai sedikit sebanyak persamaan terutama sekali pada pengenalan tajuk.

Sememangnya isu ini menjadi perdebatan hangat dalam kalangan ahli akademik. Seorang ahli akademik menyanggah perkara ini dengan menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu mengkaji tentang sesuatu benda, maka sudah tentu dia tidak dapat mengelak daripada menggunakan kerangka yang sama dalam kajian beliau.

Seorang teman menasihati saya agar berhati-hati dalam perkara ini. Mungkin kerangka kajian kita adalah hampir sama, namun kita perlu menulis secara paraphrasing supaya ayat yang digunakan tidak sama sepenuhnya.


[1] http://plagiarism.org/plag_article_what_is_plagiarism.html

Bersambung…

Koleksi artikel penuh. Klik di sini.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s