Penerbitan artikel jurnal: Satu catatan pengalaman (siri 25)

Utamakan jurnal dahulu

Saya teringat pesan seorang penceramah satu bengkel yang diadakan di UiTM dahulu. Beliau berpesan agar artikel yang bermutu seharusnya dihantar ke jurnal terlebih dahulu. Seeloknya, ia dihantar ke jurnal yang mempunyai ranking yang paling tinggi. Sekiranya tidak diterima, baharulah ke jurnal yang berada di ranking yang lebih rendah. Paling kurang pun, artikel itu dihantar ke jurnal yang berwasit.

Beliau mengeluh apabila melihat sebahagian rakannya yang menghantar artikel mereka ke persidangan terlebih dahulu. “Rugi!” pesan beliau pendek. Ini kerana menurut beliau, kertas persidangan adalah lebih mudah untuk diterima berbanding jurnal atas faktor ‘bisnes’. Pihak penganjur kadang-kadang menerima kertas kerja persidangan kerana mereka mempunyai komitmen untuk membayar kos penganjuran seminar dan sebagainya. Kadang-kadang artikel konsep yang tidak berbentuk kajian empirikal pun diterima untuk sesi pembentangan. Malah terdapat pembentangan yang dibuat berdasarkan ujian rintis sahaja.

Satu pemerhatian

Saya  enggan mengulas lanjut perkara ini. Tidak mengia atau menidakkan. Kadang-kadang tidak adil menyatakan begitu kepada pihak penganjur persidangan. Namun, saya merasai sedikit sebanyak kebenaran pendapat penceramah ini apabila menghadiri beberapa seminar kebelakangan ini. Terdapat persidangan yang mengenakan bayaran yang tinggi, namun artikel yang dihantar tidak pula diterbitkan dalam prosiding. Malah, terdapat seminar yang langsung tidak mengeluarkan prosiding!.

Terdapat persidangan yang menerbitkan prosiding tetapi tanpa ISSN. Prosiding juga tidak lengkap, malah kertas kerja pembentang utama tidak disertakan!. Peserta hanya diberikan sekeping CD yang mempunyai sebahagian kertas kerja sahaja. Saya juga pening memikirkan bagaimana mahu merujuk kepada kertas kerja persidangan sebegini kerana ia diterbitkan tanpa ISSN. Ketiadan ISSN mengakibatkan penerbitan itu tidak berdaftar dengan perpustakaan negara, lalu menyukarkan pihak ketiga untuk merujuk kembali kepada penulisan tersebut. Saya risau memikirkan aspek kesahan penerbitan itu. Saya tidak pelik sekiranya persidangan itu bertaraf kecil-kecilan tetapi perkara ini berlaku juga dalam persidangan yang bertaraf antarabangsa!.

Persidangan dan proses perwasitan

Menurut penceramah itu lagi, kertas kerja untuk persidangan kadang-kadang tidak melalui proses perwasitan sebagaimana yang dilakukan oleh pihak jurnal. Ini disebabkan oleh kekangan masa dan jumlah bilangan artikel yang tinggi diterima oleh pihak penganjur persidangan. Malah, sebahagian artikel diterima berdasarkan penilaian awal terhadap abstrak sahaja tanpa melibatkan penilaian terhadap artikel penuh!. Terdapat juga persidangan yang langsung tidak mewasitkan kertas kerja yang dihantar kerana bilangan peserta dan pembentang yang tidak mencukupi, sedangkan komitmen mereka terhadap pengurusan seminar itu adalah tinggi.

Oleh itu,  beliau menyarankan kepada ahli akademik agar mengutamakan penulisan artikel untuk dihantar kepada jurnal terlebih dahulu sebelum memilih untuk dihantar ke persidangan, terutama sekali penulisan yang melibatkan kajian empirikal. Sayang sekali satu artikel bermutu hanya diterbitkan dalam prosiding persidangan yang tidak dapat diakses oleh dunia luar secara meluas berbanding sekiranya ia diterbitkan oleh jurnal yang berwasit. (Teman, saya hanya menyampaikan pesanan beliau, anda sendirilah yang menilainya)

Utamakan jurnal

Saya seakan-akan terpengaruh dengan pandangan ini. Oleh sebab itu, saya lebih mengutamakan penulisan jurnal berbanding persidangan. Namun, dalam pada itu, saya mengakui bahawa persidangan memberikan saya ruang yang lebih untuk berbincang dengan ahli akademik yang lain mengenai kajian yang sedang saya lakukan. Saya juga mempunyai masa yang lebih untuk berjumpa dengan tokoh-tokoh ini secara bersemuka. (Itupun sekiranya mereka mempunyai masa!).

Namun, dalam diam saya mengimpikan persidangan yang dibuat secara sederhana, di satu tempat yang sekadarnya sahaja. Mungkin sahaja di dewan-dewan kuliah universiti atau di mana-mana sahaja yang tidak memakan belanja yang tinggi. Apa yang penting, para ilmuan dapat berkumpul dan bertukar-tukar fikiran. Pastinya, penganjuran sebegini akan mengurangkan kos penganjuran dan mengurangkan jumlah ringgit yang perlu dilabur oleh peserta.

Pembentangan dalam bahasa Inggeris

Berdasarkan pengalaman saya, apabila menghadiri sesuatu persidangan di peringkat antarabangsa, adalah lebih baik bagi seseorang itu untuk membentangkan kertas kerjanya dalam bahasa Inggeris. Bukan niat saya untuk menafikan kepentingan bahasa Melayu, tetapi pembentangan dalam bahasa Inggeris akan dapat menarik perhatian lebih ramai khalayak peserta dari luar negara untuk mengikuti sesi pembentangan. Secara tidak langsung, perbincangan dengan tokoh-tokoh luar negara dapat dilakukan. Mereka pastinya tidak akan menghadiri sesi pembentangan yang mereka sendiri tidak memahami tutur kata pembentangnya.

Sekiranya pembentangan itu dibuat dalam bahasa Melayu, pembentang hanya boleh berkongsi pendapat dengan rakan-rakan tempatan yang memahami bahasa Melayu sahaja. Perkara ini tidak menjadi masalah sekiranya persidangan itu adalah pada peringkat tempatan, kerana kebanyakan peserta datang dari Malaysia. Namun, keadaan sebaliknya pula berlaku sekiranya persidangan itu bertaraf antarabangsa. Bukan apa, saya kasihan melihat beberapa siri pembentangan selari yang kerusi mejanya lebih banyak daripada pendengar!

Bersambung…

Koleksi artikel penuh. Klik di sini.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s