Penerbitan artikel jurnal: Satu catatan pengalaman (siri 24)

Data kajian

Saya melihat kembali data kajian. Saya mendapati skop kajian itu agak luas kerana ia melibatkan banyak aspek penilaian kurikulum bahasa Arab. Data yang diperoleh juga agak besar kerana ia melibatkan penggunaan lima instrumen iaitu soal selidik, temu bual, pemerhatian di dalam kelas, analisis dokumen dan ujian. Saya harus bijak memilih topik penulisan kerana pengalaman terdahulu mengajar saya untuk tidak melambakkan kesemua dapatan dalam satu artikel. Tindakan sebegitu akan menyebabkan penulisan menjadi tidak fokus. Sementelah lagi, penulisan sesebuah artikel mempunyai had tertentu. Sebagai contohnya, pihak Gema menghadkan penulisan tidak melebihi 5000 patah perkataan bagi sebuah artikel. Oleh itu, saya berpendapat tiga persoalan kajian dalam satu penulisan artikel itu sudah memadai.

Potensi data kajian

Saya juga mendapati data kajian ini boleh dianalisis dengan menggunakan pelbagai prosedur statistik inferential di samping analisis deskriptif kerana ia mencukupi syarat-syarat tertentu seperti pemilihan sampel secara rawak serta bilangan sampel yang agak besar. Saya juga mempunyai pilihan untuk menghuraikan sesuatu persoalan kajian secara kualitatif.

Saya teringat pesan seorang penceramah dalam satu bengkel di UiTM dahulu supaya data kajian PhD haruslah kaya dan pelbagai. Seboleh-bolehnya, biarlah ia melangkaui persoalan kajian PhD. Ini kerana data itu masih boleh digunakan untuk analisis lanjutan yang tidak menjadi fokus utama dalam kajian PhD. Namun, sayajuga harus menegaskan di sini bahawa bukan setakat data itu perlu kaya, tetapi pengambilan data itu juga haruslah tepat dan boleh digunakan dalam pelbagai bentuk, supaya analisis yang bersesuaian boleh dijalankan.

Sebagai contohnya, teknik persampelan secara purposif akan menyebabkan ujian statistik parametrik tidak dapat dijalankan terhadap data. Namun, penyelidik masih boleh menimbang untuk menggunakan ujian statistik bukan parametrik pula. Dapatan data kualitatif pula perlu dianalisis secara kualititatif, namun ia tidak boleh digeneralisasikan kepada populasi kajian. Setiap pengkaji harus mengetahui batasan kajian yang sedang mereka jalankan serta potensi yang ada pada data tersebut.

Mencari jurnal ISI Thomson

Saya mula membuat sedikit kajian tentang jurnal bertaraf ISI Thomson. Kajian saya menjadi semakin mudah apabila saya melayari laman web ISI Thomson Reuters. Laman web ini boleh diakses melalui server universiti yang melanggan ataupun melalui laman web perpustakaan tertentu. Keadaannya adalah sama dengan laman web SCOPUS (lihat siri tujuh belas).

Saya meneliti jurnal-jurnal tersebut dan beberapa artikel yang telah diterbitkan. Perkara ini penting kerana ia boleh memberikan sedikit gambaran tentang corak dan tahap penulisan yang mereka terima. “Aduh, hebatnya artikel-artikel ini!” Saya menjadi gerun dan rendah diri apabila melihat senarai artikel dalam jurnal-jurnal terbabit.

Saya membulatkan tekad, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Belum cuba belum tahu. Jika saya tidak mencuba, pastinya saya tidak mempunyai harapan langsung untuk menerbitkan artikel di sana. Namun, sekiranya saya mencuba dan ditakdirkan artikel itu ditolak, saya tidak kerugian apa-apa. Malah saya akan mendapat komen secara percuma daripada pakar-pakar dalam bidang ini. Andai diterima pula, ia pasti menjadi satu bonus yang besar buat saya. Memang, saya tidak menaruh harapan yang tinggi dalam hal ini.

Jurnal vs persidangan

Selain jurnal ISI Thomson ataupun jurnal berwasit yang lain, saya mempunyai pelbagai pilihan dalam menerbitkan artikel. Saya juga boleh menghantar penulisan saya ke pelbagai persidangan yang dijalankan saban tahun. Namun, untuk persidangan, saya harus lebih berwaspada tentang beberapa tarikh penting seperti tarikh akhir penghantaran abstrak. Sekiranya abstrak diterima, saya juga harus menepati tarikh penghantaran artikel penuh sekiranya mahu artikel itu diterbitkan dalam prosiding seminar.

Saya juga harus mengambil kira tempoh pendaftaran kerana pihak persidangan biasanya menawarkan potongan harga (early bird) kepada peserta yang mendaftar awal. Status saya sebagai seorang pelajar juga mungkin memberikan kelebihan kerana sebahagian seminar memberikan harga pendaftaran istimewa kepada golongan pelajar. Oleh itu, saya selalu tidak lupa untuk membawa kad pelajar semasa menghadiri seminar kerana mereka akan menyemak kesahan status sebagai seorang pelajar.

Senarai persidangan selalu sahaja diwarwarkan oleh rakan-rakan sama ada melalui pemberitahuan secara online ataupun melalui pesanan ringkas SMS. Senarai persidangan juga boleh diperolehi melalui satu laman web conferencealerts[1] yang diwujudkan khas untuk tujuan ini. Melalui laman web ini, saya dapat melihat pelbagai jenis persidangan yang dijalankan di dalam dan di luar negara berdasarkan bidang pengkhususan. Laman web ini juga mempunyai pautan yang membolehkan saya mengakses laman web sebenar bagi sesuatu persidangan. Mudah bukan!.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s