Penerbitan artikel jurnal: Satu catatan pengalaman (siri 22)

Keyakinan untuk menulis

Alhamdulilah, selepas berjaya menerbitkan beberapa artikel, keyakinan saya untuk menulis semakin meningkat dan membuak-buak. Saya teringat akan dilema yang pernah saya hadapi semasa mula-mula hendak menulis dahulu. Saya sentiasa menghadapi krisis keyakinan terhadap diri sendiri. Bimbang andainya penulisan saya tidak mencapai tahap piawaian yang dikehendaki.

Namun, percayalah teman, setelah anda mendapat rentak dan semangat, anda akan merasa ketagih untuk menulis. Perkara yang sama pernah dikongsikan oleh seorang profesor dari Pusat Pengajian Umum UKM semasa menyampaikan ceramah beliau tentang penulisan akademik.

Pun begitu, saya sentiasa mengingatkan diri untuk sentiasa belajar memperbaiki teknik penulisan dan perbincangan dapatan. Saya selalu mengadakan sesi perbincangan dengan rakan siswazah dan penyelia. Begitu juga, saya akan cuba menghadiri segala aktiviti persatuan siswazah yang dianjurkan. Jikapun kadang-kadang maklumat yang disampaikan itu sudah saya ketahui, namun kehadiran ke perjumpaan-perjumpaan sebegini akan membuatkan saya menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang pelajar dan pengkaji.

Bukankah Nabi saw pernah menyatakan bahawa para malaikat akan menebarkan sayap-sayapnya kepada semua orang yang berada dalam satu majlis ilmu. Saya sungguh merasai kesan aura ‘malaikat’ itu terhadap diri sendiri..

Perkembangan penulisan tesis

Dalam pada itu, saya telah selesai menulis satu draf untuk bab lima tesis Phd. “Alhamdulillah, saya bersyukur kepadaMu ya Allah”. Bab lima merupakan satu bab yang paling sukar bagi seorang pelajar siswazah. Penulisan bab ini memerlukan daya kreativiti yang tinggi dalam mengumpul, menganalisis dan menggabung jalin kesemua dapatan kajian, seterusnya mengaitkannya dengan teori dan dapatan kajian-kajian lepas.

Bukan itu sahaja, para pelajar juga perlu menerangkan implikasi kajian terhadap teori dan juga aplikasi di samping cadangan untuk kajian-kajian akan datang. Lebih enam bulan, siang dan malam, saya menumpahkan keringat, memperuntukkan seluruh masa untuk melunasi bab lima ini. Satu proses yang sungguh memenatkan, namun saya merasa puas. Biarpun saya tahu, masih banyak lagi kelemahan di sana sini.

Mohon nasihat penyelia

Usai bab lima, saya menyerahkan draf penulisan itu kepada penyelia. Saya merasakan bahawa saya telah melakukan yang terbaik pada kali ini. Ya, sememangnya tugas seorang pelajar untuk melakukan yang terbaik dalam penulisan. Bukan hanya sekadar main lepas tangan sahaja dan mengharapkan penyelia bermurah hati untuk menulis dan membaiki penulisan itu bagi pihak dirinya. Kasihan saya melihat beberapa orang teman yang mempunyai sikap begitu. Saya juga jatuh kasihan kepada penyelia yang terpaksa melayan karenah pelajar seperti itu.

Walaupun saya merasakan bahawa saya telah melakukan yang terbaik dalam penulisan, namun sebagai seorang penyelia yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam memeriksa tesis pelajar, penyelia tentu mempunyai pandangan yang lebih jitu dalam menentukan hala tuju perbincangan dapatan kajian. Penyelia meminta sedikit masa untuk membaca draf penulisan saya itu. Saya akur kerana bukan seorang dua pelajar yang bernaung di bawah seliaan penyelia ini.

buah cempedak di luar pagar

ambil galah tolong jolokkan

saya budak baru belajar

kalau salah tolong tunjukkan

Bersambung…

Koleksi artikel penuh. Klik di sini.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s