Penerbitan artikel jurnal: Satu catatan pengalaman (siri 20)

Artikel di jurnal SCOPUS

Setelah artikel saya diterbitkan oleh Gema, saya mula mencari nama saya di laman web SCOPUS. Anda masih ingat lagi teman, bual bicara kita tentang laman web SCOPUS sebelum ini (lihat siri tujuh belas).

Tanpa berlengah, saya terus membuka laman web SCOPUS, kemudian pergi ke bahagian search dan author search. Lalu saya menaip perkataan Yusri untuk last name dan G. untuk initial name. Secara automatik, enjin carian SCOPUS terus mencari nama saya. Saya teruja, menanti-nanti untuk melihat kelibat nama sendiri di sana.

Namaku tiada!

Pencarian saya berakhir apabila enjin carian SCOPUS menyatakan bahawa tiada nama Yusri G. sebagaimana yang diminta. “Aduh! Kenapa pulak ni?” Saya mengeluh. Saya tidak faham kenapa nama saya tiada di sana sedangkan artikel itu sudah diterbitkan.

Saya terus menelefon penyelia. Beliau menyambut persoalan saya dengan ketawa kecil, seolah-olah dapat membaca gelora jiwa seorang anak muda. “Sabar syeikh, pihak SCOPUS biasanya mengambil sedikit masa untuk menyenaraikan artikel yang baharu diterbitkan” jelas beliau mesra seperti biasa. “Oh.. ye ke?” Saya malu sendiri. Betul juga tu, SCOPUS mempunyai ribuan jurnal yang tersenarai dalam pangkalan datanya. Ia pasti memerlukan masa untuk mengindeks kesemua artikel yang dikeluarkan oleh jurnal-jurnal tersebut. Penyelia meminta saya untuk bersabar dan memberi masa selama dua minggu sehingga ke sebulan untuk penyenaraian.

Menunggu

Sebulan telah berlalu. Saya mengulangi semula pencarian nama saya melalui laman web SCOPUS. Alhamdulillah, akhirnya nama itu terpacul keluar, bersekali dengan tajuk artikel dan nama jurnal. Saya berasa sungguh teruja. Nama itu muncul dengan angka dua di sebelahnya, menunjukkan dua artikel telah saya sumbangkan. Saya juga dapat memerhatikan kolum subject area yang menunjukkan skop artikel yang ditulis. Begitu juga, terdapat di situ ruangan affiliation yang merujuk kepada universiti tempat saya mencurah khidmat bakti, ruangan city dan juga country.

“Klik.” Saya menekan pautan pada nama sendiri. Satu paparan baharu muncul. Di situ, saya dapat melihat perincian maklumat tentang diri saya sendiri sebagai seorang penulis. Saya perhatikan di situ, saya telah diberikan satu ID khusus. Saya melihat nombor ID yang tertera: 36448027300.

Artikel tercicir

“Eh, mana pula artikel saya di The International Journal of Learning (IjoL)? Padahal artikel itu terbit terlebih dahulu daripada artikel di Gema Online?” Saya tiba-tiba bertanya pada diri sendiri. Saya teringat akan satu artikel yang telah diterbitkan oleh jurnal ini dahulu. Ya, satu artikel hasil kerjasama dengan penyelia dan teman-teman pengkaji yang lain (lihat siri tujuh). Jurnal ini juga terindeks dalam SCOPUS. Sepatutnya, artikel itu telah tersenarai bersama-sama dengan artikel yang diterbitkan oleh Gema!

Menghubungi pihak SCOPUS

Saya menyelongkar halaman web SCOPUS sekali lagi. Di bahagian bawah halaman tersebut, saya dapat melihat ada satu pautan yang tertulis contact and support. Saya menekan butang pautan tersebut. Satu paparan baharu muncul. Satu paparan yang membolehkan saya menghubungi pihak SCOPUS untuk memberitahu mereka segala permasalahan yang berkaitan dengan artikel. Namun, sebelum saya menulis di ruangan itu. Mata saya terlihat satu nota ringkas tertulis di bahagian bawah.

To request corrections to any inaccuracies in author details, please use the Author Feedback Wizard.”

Saya perhatikan tulisan Author Feedback Wizard itu berwarna biru, menunjukkan ada pautan tertentu di situ. Saya terus pergi ke ruangan tersebut.

Dalam penulisan artikel, terdapat penulis yang menggunakan nama yang pelbagai. Sebagai contohnya, Nik Mohd Rahimi (dikenali sebagai Rahimi, N.M.) atau Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff (dikenali sebagai Yusoff, N.M.R.N). Dalam keadaan ini, pihak SCOPUS akan memberikan dua ID yang berbeza kepada penulis ini dengan anggapan beliau adalah dua orang penulis yang berbeza. Melalui ruangan ini, seseorang penulis boleh menggabungkan kesemua IDnya dalam satu profil. “Ah, ruangan ini tiada kaitan dengan urusan saya kali ini.” Saya cepat membuat kesimpulan.

Saya kembali ke ruangan contact us. Seterusnya, saya terus menghubungi pihak SCOPUS melalui ruangan tersebut untuk memaklumkan mereka berkenaan artikel yang tercicir. Saya turut menyertakan pautan terus ke halaman artikel di IjoL sebagai bukti.

Selepas beberapa ketika, saya mendapat emel daripada pihak SCOPUS memaklumkan bahawa pihak mereka sedang membuat penyiasatan. “Wah, cekap sungguh!” Selang beberapa hari selepas itu, saya menerima lagi kiriman emel daripada pihak SCOPUS menjelaskan bahawa sememangnya artikel ini terlepas pandang dan belum lagi disenaraikan.

Sambil mengucapkan terima kasih, mereka terus memasukkan artikel tersebut dalam SCOPUS!. “Wah! Saya sudah mempunyai tiga artikel tersenarai di SCOPUS! Alhamdulillah..” Saya mengucapkan syukur kepada Allah atas kurniaannya. Semoga tahun-tahun mendatang, angka itu semakin bertambah. Bukankah Allah menyatakan bahawa Dia akan menambahkan nikmatNya kepada hamba-hambaNya yang bersyukur.

Saya juga mendapat tahu, para penulis boleh menghubungi pihak SCOPUS sekiranya mereka ingin membetulkan sebarang kesilapan maklumat tentang diri dan artikel mereka. Sebagai contohnya, kesilapan dalam affiliation penulis ataupun nama negara.

Saya tidak dapat membayangkan betapa ramai tenaga kerja telah disediakan oleh pihak SCOPUS untuk melayan ribuan malah ratusan ribu penulis dan jurnal yang berada dalam pangkalan data mereka!  Namun, sayatidak lagi berasa terlalu pelik dan kagum tentang keupayaan mereka apabila memikirkan tentang ribuan dolar yang mereka perolehi hasil daripada langganan laman web mereka di seluruh dunia!

Selang beberapa minggu selepas itu, saya dihubungi lagi sekali oleh pihak SCOPUS. Saya diminta untuk memberikan markah secara online bagi menilai tahap kecekapan perkhidmatan mereka. Saya teruja dengan ketelusan pengurusan sebegini. Tanpa teragak-agak, saya telah memberikan markah yang tertinggi kepada mereka. Two thumbs up!

Bersambung..

Koleksi artikel penuh. Klik di sini.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s