Penerbitan artikel jurnal: Satu catatan pengalaman (siri 19)

Risau

Saya terus menghantar satu emel kepada sidang editor Gema, merisik khabar berita tentang keadaan ini. Namun, saya tidak menerima sebarang jawapan. Saya akur dan sedar, memang saat-saat sebegini, semua orang sedang bercuti raya! Apa yang boleh saya harapkan daripada emel ini!

Lega

Saban hari saya meneroka laman web Gema. Namun, situasi yang sama juga berlaku, tiada perubahan. Artikel saya tetap tiada di sana. Sehinggalah sehari sebelum saya bertolak pulang ke kota, tiba-tiba  artikel itu muncul kembali di tempatnya!.

Alhamdulillah..lega…

Sebelum itu, bermacam-macam perasaan negatif timbul. Adakah penerbitan artikel itu telah ditarik semula? Adakah pihak editor menerima aduan negatif dari pihak luar yang berkaitan dengan artikel itu? Saya teringat tentang satu bengkel penerbitan artikel jurnal yang pernah saya hadiri dahulu di UiTM. Seorang penceramah pernah menyatakan bahawa sesuatu artikel yang telah diterbitkan boleh ditarik semula penerbitannya sekiranya pihak jurnal mendapati berlaku beberapa perkara yang boleh menjatuhkan integriti jurnal akademik seperti aktiviti plagiat dan penerbitan berulang. Penerbitan berulang bermaksud penulis telah menghantar artikel yang sama kepada beberapa buah jurnal.

Malah saya pernah melihat satu artikel telah diketepikan kerana ia telah diterbitkan oleh jurnal yang lain sebelum itu. Namun kesemua kemungkinan itu saya tepis kerana saya tidak pernah melakukan perkara sebegitu. Oleh itu, tiada kemungkinan untuk artikel itu ditolak disebabkan oleh faktor-faktor tersebut.

Emel dari editor

Keesokan harinya, satu emel daripada editor Gema menyapa mesra melalui akaun emel peribadi saya. Emel itu menyatakan dengan ringkas bahawa tiada sebarang masalah dengan penerbitan artikel tersebut. “Ah.. mungkin kesilapan teknikal atau mungkin kelemahan komputer riba saya ini sahaja.” Saya tersenyum, malu sendiri dengan keresahan yang tidak sepatutnya berlaku. Saya kagum dengan pengurusan Gema yang pantas menjawab persoalan emel, walaupun mereka baharu sahaja pulang daripada bercuti hari raya. Saya maklum kesemua sidang editor juga adalah pensyarah, seperti saya juga. Masing-masing mempunyai komitmen yang tinggi dengan tugasan mereka.

Syukur

Alhamdulillah, akhirnya dua artikel saya diterbitkan serentak dalam Gema Online Journal keluaran September 2010. Seribu kesyukuran saya panjatkan kepada Allah taala atas anugerah yang tidak ternilai ini. Saya mengharapkan agar tulisan itu mampu dimanafaatkan oleh para pembaca, seterusnya dapat meningkatkan lagi kefahaman pembaca tentang pengajaran bahasa Arab di Malaysia. Mungkin tulisan itu tidak sempurna kerana sememangnya sifat manusia adalah jauh daripada kesempurnaan. Namun, saya sangat menghargai kepercayaan pihak jurnal yang menerbitkan tulisan itu. Saya juga menanti-nanti sekiranya terdapat pembaca yang sudi mengemelkan kepada saya sebarang kritikan yang boleh memperbaiki kelemahan artikel itu.

Menulis tugas mulia

Bukankah menulis itu lebih baik daripada sekadar menyimpan ilmu di dalam dada. Malah, silap-silap haribulan, ilmu itu akan dibawa pergi bersama tuannya ke liang lahad. Saya mengakui, sebahagian rakan enggan menulis kerana merasakan diri mereka tidak layak ataupun tidak mahu mendedahkan diri mereka kepada sebarang kritikan. Namun, saya suka menegaskan bahawa sekiranya ulama dahulu tidak menulis, nescaya kita tidak akan dapat mewarisi khazanah ilmu yang sungguh hebat pada hari ini. Sekiranya mereka tidak bersengkang mata pada sela-sela masa yang ada, jangan mengimpikan perpustakaan kita akan penuh dengan lautan permata ilmu. Lebih daripada itu, jangan mengimpikan kemunculan tok-tok guru atau lebai-lebai alim tanpa kelibat tulisan-tulisan ini!

Penulisan mereka juga tidak sempurna. Namun, ia kemudiannya dilengkapkan dan diperhaluskan lagi oleh penulis-penulis selepas itu dengan menulis kitab syarah ataupun hasyiyah. Malah terdapat juga penulis-penulis mutakhir yang membetulkan hadith-hadith yang diguna pakai oleh ulama yang terkenal terdahulu. Pembetulan itu tidak sedikit pun merendahkan martabat ulama terdahulu sebagai tokoh ilmuan yang terbilang.

Anda masih ingat lagi teman bagaimana Syeikh al-‘Iraqi menyunting hadith-hadith yang digunakan oleh al Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’. Anda tahu bukan, kedudukan kitab Ihya’ dalam kalangan ulama Islam. Anda juga belum lupa bukan bagaimana Syeikh al-Albani menyunting pelbagai kitab penulisan ulama muktabar terdahulu. Nah, kelemahan dalam menulis adalah perkara biasa. Namun dalam tradisi kita, adalah satu perkara yang luar biasa bagi seseorang ilmuan seperti anda teman, untuk langsung tidak menulis!

Ayuh, teman, tajamkan mata penamu..asahlah keyboard laptopmu, kita akan terus menulis dan menulis, usah dihiraukan tohmahan pihak luar kerana penilai kita yang sebenar adalah Allah yang maha Esa.

Bukankah ilmu yang dimanafaatkan itu menjadi pelaburan yang paling bernilai, yang bakal mengalirkan pahala yang tidak kunjung padam kepada pemiliknya, walaupun jasad mereka telah hancur dimamah bumi.

Bersambung..

Koleksi artikel penuh. Klik di sini.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s