Tarbiah dan bimbingan Allah dalam beribadah

Ramadhan sebagai bulan ibadah

Bulan Ramadhan telah pun berlalu meninggalkan kita. Perginya Ramadhan bersama-sama dengan segala keberkatan dan tawaran pahala yang tidak diberikan pada bulan-bulan yang lain. Kemuncak tawaran pada bulan ini adalah dengan kedatangan malam lailatul qadr. Satu malam yang penuh misteri, namun sangat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Pahala beribadat pada malam itu pula adalah lebih baik daripada seribu bulan.

Umat Islam dan bimbingan Allah

Umat Islam merupakan umat yang sangat beruntung kerana mereka sentiasa dalam redha Allah dan juga dalam bimbingan yang berterusan. Sebelum kedatangan bulan Ramadhan, terdapat pelbagai amalan puasa sunat yang ditawarkan sepanjang tahun. Sebahagiannya berbentuk puasa mingguan seperti puasa Isnin dan Khamis. Terdapat juga puasa yang disunatkan kerana sempena peristiwa tertentu seperti puasa pada Hari Asyura iaitu 10 Muharram dan Hari Tasu’a pada 9 Muharram dan sebagainya. Begitulah amalan puasa sebelum Ramadhan, berbentuk kecil-kecilan namun berterusan.

Selepas itu, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa pada bulan Ramadhan. Pelbagai kelebihan berpuasa pada bulan Ramadhan ini telah dibincangkan. Puasa pada bulan ini diharapkan dapat membersihkan diri dan jiwa umat Islam supaya lebih dekat kepada Allah taala seterusnya meningkatkan lagi tahap taqwa mereka kepada Allah. Zakat fitrah juga diwajibkan pada bulan ini kepada semua individu Muslim bagi membersihkan harta serta menunjukkan keprihatinan seluruh umat Islam terhadap golongan yang memerlukan. Zakat juga dilaksanakan bagi memastikan kekayaan alam ini dapat dinikmati oleh semua golongan.

Selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, umat Islam diberikan sehari untuk merayakan kejayaan mereka mengekang hawa nafsu di bulan Ramadhan. Takbir dilaungkan berulang kali semenjak masuknya waktu maghrib 1 Syawal sehinggalah sembahyang hari raya aidilfitri. Perayaan ini melibatkan semua umat tanpa kecuali. Malah, umat Islam ditegah untuk berpuasa pada hari tersebut sebagai tanda kesatuan hati dalam merayakan kejayaan mereka menempuh Ramadhan.

Tarbiah berterusan

Tarbiah dan bimbingan Allah berterusan selepas itu. Sekiranya Ramadhan berjaya dilalui, kali ini Allah menggalakkan umat Islam untuk berpuasa pula pada 6 hari pada bulan Syawal. Ganjaran pahala berpuasa yang ditawarkan adalah seperti berpuasa setahun genap. Berpuasa pada Syawal ini mungkin agak sukar bagi sebahagian umat Islam kerana suasananya yang di kelilingi oleh juadah makanan, berbeza daripada bulan Ramadhan. Namun, ganjaran berpuasa 6 hari pada bulan Syawal daripada Allah itu sangat besar, menjadi motivasi yang tinggi kepada mereka yang sentiasa ingin mendekati rahmatNya.

Bersiap sedia untuk ibadah haji

Selepas itu, umat Islam bersiap sedia pula untuk menghadapi satu lagi aktiviti tahunan yang lebih besar iaitu menunaikan haji. Walaupun ibadat ini tidak melibatkan semua umat Islam, namun suasana dan kemeriahannya tetap dirasai oleh semua pihak. Urusan untuk menunaikan haji adalah lebih besar daripada berpuasa di bulan Ramadhan. Ini kerana ia memerlukan komitmen fizikal, emosi dan kewangan. Jemaah haji perlu bersedia dari segi kesihatan tubuh badan untuk menunaikan haji kerana ia melibatkan perlakuan fizikal yang berterusan. Ibadah haji juga melibatkan emosi kerana jemaah haji terpaksa meninggalkan kampung halaman dan sanak saudara untuk satu tempoh yang agak lama. Begitu juga, urusan haji menuntut persediaan kewangan yang bukan sedikit.

Tarbiah Allah melalui ibadah haji

Tarbiah Allah melalui amalan haji ini mempunyai hikmah yang amat besar. Selain dapat menjiwai perjalanan hidup nabi-nabi terdahulu, haji juga merupakan satu simbol kepada kesatuan umat Islam sejagat.Kesemua jemaah haji memakai pakaian yang sama. Pakaian itu pula berwarna putih, seolah-olah menunjukkan hati yang bersih dan keikhlasan mereka dalam beribadat. Haji juga menunjukkan bahawa semua umat Islam adalah serupa. Tiada yang membezakan umat manusia melainkan taqwa mereka kepada Allah. Satu laungan yang sama dapat didengari dari jemaah haji: labaikAllahumma labbaik, labbaika la syarika laka labbaik. Lautan manusia yang membanjiri bumi Mekah juga seolah-olah menunjukkan suasana perhimpunan manusia di padang mahsyar.

Kemuncak kemenangan umat Islam dalam beribadah

Selesai urusan haji, umat Islam akan menyambut pula perayaan Hari Raya Aidiladha. Perayaan ini disambut oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Ia tidak dikhususkan kepada jemaah haji yang menunaikan haji di Mekah semata-mata. Perayaan bagi merayakan kejayaan dalam menjalani tarbiah Allah taala ini disambut secara besar-besaran dengan laungan takbir dan juga dengan mengorbankan lembu kerbau.

Perayaan ini sebenarnya sangat besar seperti juga perayaan Hari Raya Aidilfitri. Malah, takbir yang dilaungkan juga adalah lebih lama iaitu selama tiga hari berturut-turut dengan tujuan mengagungkan Allah taala. Ratusan ribu lembu kerbau dikorbankan bagi mengingati peristiwa Nabi Ibrahim as dan Nabi Ismail as dahulu. Daging korban juga dibahagikan kepada semua umat Islam termasuk fakir miskin bagi menunjukkan rasa prihatin sesama saudara. Pada masa itu, wang ringgit sudah tidak menjadi persoalan kerana persaudaraan sesama Islam itu lebih tinggi daripada hubungan wang ringgit.

Sungguh hebat aktiviti ibadah yang telah dirancang Allah kepada umat Islam sepanjang tahun. Kesemuanya mempunyai kelebihan yang akan kembali kepada umat Islam itu sendiri. Allah itu maha kaya. Sekiranya kita engkar untuk beribadat sekalipun kepada Allah, ia tidak akan meninggalkan apa-apa kesan terhadap Allah. Malah, kita sendiri yang akan rugi kerana tidak dapat merasai hikmah di sebalik ibadat tersebut.

Kesemua ibadat ini disusun dengan sebegitu rapi, dan kemuncaknya adalah perayaan menyambut Hari Raya Aidil Adha. Tarbiah ini akan berterusan pula pada tahun-tahun berikutnya demi kebaikan dan kesinambungan kehidupan umat Islam dan kehidupan seluruh manusia sejagat. Bukankah perutusan hidayah Allah melalui nabi dan rasul ini merupakan satu rahmat kepada alam sejagat?

This entry was posted in pembersihan jiwa and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s