Surah ar-Rahman dan sistem kehidupan

Sistem kehidupan

Hidup bersistem merupakan satu perkara penting dalam kehidupan manusia. Oleh itu, kepatuhan semua pihak dalam mengikuti sistem yang telah ditetapkan merupakan satu perkara yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya terdapat satu pihak yang enggan untuk patuh, maka bencana buruk akan menimpa semua pihak.

Surah ar-Rahman dan sistem (Ayat 1)

Surah ini dimulakan dengan kata kunci utama iaitu sifat penyayang Allah taala. Sifat penyayang inilah yang mewujudkan semua sistem kehidupan yang diperkatakan dalam surah ini. Sifat ini yang dipanggil ar-Rahman.

Sistem dan al-Quran (Ayat 2)

Dengan sifat penyayang ini, Allah mengajarkan manusia tentang isi kandungan al-Quran. Al-Quran merupakan satu panduan lengkap dan sempurna kepada satu sistem kehidupan manusia, jin dan seluruh makhluk di alam ini. Tanpa panduan al-Quran, manusia akan hidup tunggang langgang dan tidak harmoni. Lihat sahaja sistem kapitalis yang digunakan dalam sistem ekonomi kita pada hari ini. Sistem ini yang antara lainnya berteraskan riba telah mewujudkan satu kehidupan manusia yang tidak tenteram. Orang kaya bertambah kaya, orang miskin bertambah miskin. Kekayaan alam tidak dibahagikan secara rata dan hanya memuaskan hawa nafsu segolongan manusia sahaja. Memandangkan al-Quran ini adalah sumber utama dalam sistem kehidupan manusia, maka Rasulullah saw pernah bersabda bahawa sebaik-baik kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya.

Sistem bahasa (ayat 3-4)

Dengan sifat penyayang Allah juga, Dia menciptakan manusia daripada tiada dengan segala sifat kebaikan yang melayakkan mereka menjadi khalifah. Manusia diberi akal fikiran dan kudrat untuk memakmurkan bumi dengan sebaik-baiknya.

Allah juga mengajarkan manusia satu sistem komunikasi yang boleh digunakan untuk tujuan membangunkan satu ketamadunan yang hebat. Sistem komunikasi itulah membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk yang lain, seterusnya melayakkan manusia bergelar khalifah di atas muka bumi. Perkara yang sama pernah dinyatakan oleh Allah taala dalam surah al-Baqarah tatkala Dia mengisahkan tentang penciptaan Adam dan mengajarnya tentang nama-nama. Dengan itu, kedudukan Nabi Adam as dan manusia diangkat melebihi kedudukan makhluk-makhluk yang lain termasuklah para malaikat. Ya, bahasa merupakan satu sistem anugerah Allah yang tidak ternilai, hasil daripada sifat arRahman Allah taala.

Sistem orbit planet (ayat 5)

Dengan sifat penyayang juga, Allah menciptakan matahari dan bulan, bergerak dalam sistem mereka sendiri. Kedua-duanya patuh kepada sistem yang ditetapkan untuk mereka. Tidak pernah matahari memberontak dan bulan membantah. Semuanya muncul dan tenggelam mengikut masa dan ketetapan yang tertentu. Sekiranya, kedua-duanya enggan patuh kepada ketetapan, maka hancurlah kehidupan di bumi ini. Andai kata matahari ingin tinggal lebih lama di atas langit, maka siang akan menjadi lebih panjang. Akibatnya, ekosistem yang lain terancam dan menimbulkan kemusnahan besar terutamanya terhadap tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Ayat ini juga mencetuskan polemik kepada para pengkaji terdahulu. Apabila ayat ini mengisahkan perihal peraturan, ia pastinya membabitkan satu sistem. Sistem itulah yang kemudiannya dikenali sebagai sistem solar. Planet-planet yang mengelilingi bumi termasuk matahari dan bulan ini beredar mengikut orbit yang telah ditetapkan oleh Allah. Bayangkan sekiranya, kesemua planet ini memberontak terhadap sistem ini, pastinya seluruh alam buana akan menuu ke arah kehancuran.

Sistem ekosistem tumbuh-tumbuhan (ayat 6)

Dengan sifat penyayang juga, Allah menciptakan tumbuh-tumbuhan dengan sistem mereka sendiri. Pokok jagung contohnya, mempunyai sistemnya sendiri. Benih jagung yang ditanam tidak akan menumbuhkan pokok  limau. Sel-sel benihnya patuh kepada ketetapan sistem yang telah diperuntukkan kepadanya tanpa bantahan. Pokok jagung juga mempunyai sistem yang tersendiri dari segi berapa lama tempoh yang diperlukannya untuk mengeluarkan buah, bentuk buah yang dikeluarkan dan berapa banyak air yang diserapnya dalam sehari. Begitu juga, berapa banyak cahaya matahari dan garam mineral yang diperlukan untuk membesar.

Pokok jagung tidak boleh memberontak terhadap sistem ini. bayangkan andainya pokok ini membuat keputusan sendiri untuk menyerap air yang banyak seperti pokok tembikai, patinya stu kesan yang buruk akan berlaku terhadap pokok itu sendiri. Kesannya juga akan turut dirasai oleh pengguna jagung itu sendiri.

Dengan sebab sistem inilah juga, terdapat pokok-pokok yang tidak sesuai ditanam di Malaysia sebagai contohnya. Ia mungkin hanya sesuai ditanam di negara yang beriklim sejuk atau kering.

Sebahagian pokok juga mempunyai musim berbuah yang tetap, menunjukkan kepatuhan mereka kepada sistem yang ditetapkan Allah. Sistem ini juga menunjukkan betapa Allah itu maha teliti dan bijaksana dalam penciptaanNya.

Sistem atmosfera bumi (ayat 7)

Dengan sifat penyayang juga, Allah telah mengangkat langit tanpa menggunakan sebarang tiang. Namun, dalam pada itu, Allah taala juga menyatakan bahawa langit yang terangkat itu juga telah diletakkan dalam satu sistem.

Pernyataan Allah ini mewujudkan satu polemik tentang sistem yang telah diwujudkan antara langit dengan bumi. Perkara ini ditemui selepas itu apabila para saintis menemui sistem atmosfera bumi. Setiap lapisan udara antara langit dan bumi mempunayai sistem yang tersendiri sehingga menyebabkan bumi ini selamat untuk diduduki oleh semua makhluk Allah. Langit mempunyai lapisan ozonnya yang menghalang sinaran berbahaya dari memasuki alam. Begitu juga, lapisan-lapisan lain yang mempunyai kandungan yang stabil bagi gas oksigen dan gas-gas yang lain. Semua perkara ini menunjukkan betapa Rahmannya Allah taala. Malah, kemusnahan lapisan atmosfera bumi akhir-akhir ini berlaku akibat keegoan manusia, menentang sistem yang Allah telah wujudkan ini. Ayat ini juga mencetuskan rasa keinginan untuk mengkaji dalam kalangan ulama terdahulu sehingga mencetuskan pelbagai pendapat dan teori tentang alam. Mungkin sahaja penemuan mereka tidak sehebat sekarang atas faktor kekangan kemudahan, namun al-Quran itulah pencetus utama kepada pengkajian mereka.

Sistem timbangan (ayat 8-9)

Sekiranya Allah taala dengan penuh kasih sayangnya, telah mewujudkan satu sistem yang stabil dan diikuti di seluruh alam, sehingga membuatkan manusia dan makhluk-makhluk yang lain selesa untuk mendiaminya, maka Allah taala juga memerintahkan kita untuk berlaku adil sesama manusia. Sebagai contohnya, adil dalam aktiviti timbangan dan aktiviti-aktivi lain yang melibatkan hubungan sesama manusia.

Sekiranya kita tidak menunaikan hak orang lain, kesan buruk yang akan menimpa bukan sahaja kepada orang yang dizalimi tetapi juga kepada semua orang termasuklah orang yang menzalimi. Ini kerana perbuatan ini sebenarnya telah menggugat sistem yang telah ditetapkan dalam kehidupan kita. Oleh sebab itulah juga, Rasulullah saw menyuruh kita membantu orang yang dizalimi dan orang menzalimi kerana impaknya adalah menyeluruh kepada semua pihak.

Sistem graviti bumi (ayat 10-12)

Dengan sifat Rahman Allah juga, bumi ini dicipta supaya sesuai dengan kehidupan seluruh makhluk di atas muka bumi. Makhluk-makhluk itu pula terdiri daripada pelbagai bentuk termasuklah manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan segala benda yang lain.

Kesesuaian muka bumi merujuk kepada satu sistem yang Allah cipta khusus untuk permukaan bumi seperti sistem graviti. Dengan adanya graviti ini, maka kehidupan makhluk akan menjadi harmoni. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya graviti ini hilang dalam sistem muka bumi. Pasti kehidupan semua kehidupan akan menjadi kucar-kacir.

Melalui sistem graviti, maka pelbagai hasil boleh diperolehi termasuklah tumbuh-tumbuhan yang merupakan ruji utama segala makhluk di atas muka bumi. Allah menceritakan tiga bentuk tumbuh-tumbuhan dalam ayat ini iaitu buah-buahan, bijirin dan juga bunga-bungaan. Ketiga-tiga bentuk ini membentuk tiga spesis penting untuk kesinambungan kehidupan manusia, seterusnya menjadikan permukaan  bumi ini sesuai untuk kehidupan segala makhluk.

Segala pernyataan al-Quran datang dalam bentuk yang tersirat. Ia memerlukan pengamatan yang teliti daripada pengkaji dari semasa ke semasa. Penemuan terbaru dalam sains pada masa kini sangat bermakna kerana ia boleh menjelaskan lagi maksud sebahagian ayat al-Quran yang mungkin tidak dapat dijangkau pada zaman ulama tafsir terdahulu. Ini kerana pada ketika itu, pengetahuan dan penemuan sains adalah terbatas, lalu tidak boleh digunakan dalam menafsirkan ayat al-Quran.

Penemuan sains juga mengukuhkan jaminan Allah terhadap al-Quran iaitu kekal sebagai satu mukjizat sehingga ke akhir zaman. Segala isi kandung al-Quran juga tidak akan berlawanan dengan sains moden kerana ia datang daripada Allah yang juga pencipta kepada ilmu sains. Penemuan sains kini dan akan datang seharusnya mengukuhkan lagi keimanan kita kepada Allah taala sebagai pencipta segala makhluk.

Sifat Rahmaan Allah

Maha Rahman Allah kerana semua nikmat dan sistem yang telah ditetapkan ini dapat dimanafaatkan oleh semua pihak tanpa mengira agama, keturunan dan tempat. Biarpun terdapat manusia yang engkar kepada Allah, biarpun terdapat manusia yang tidak beriman kepada Allah, namun nikmat ini tetap mereka nikmati tanpa sebarang kekangan dan halangan.

Maka nikmat Allah yang mana satukah yang engkau mahu dustakan!

This entry was posted in pembersihan jiwa and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s