Kembara ke Pulau Bali: Jalan-jalan cari makan (makan seafood)

Pulau Bali

Makan seafood

Pulau Bali pada asalnya merupakan sebuah perkampungan nelayan. Kebanyakan penduduknya dahulu bergantung hidup kepada laut yang mengelilingi pulau itu. Sebahagian penduduknya juga merupakan petani, namun tidak seramai golongan nelayan. Apabila pulau ini berubah menjadi sebuah pulau pelancongan, maka ramai penduduknya beralih mata pencarian kepada pekerjaan yang berasaskan pelancongan. Malah, ramai juga penduduk luar yang menetap di sini mencari rezeki.

Aku dikhabarkan tentang seafood di Pulau Bali oleh teman-teman. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi seribu tuhan ini, aku berbasa basi dengan pemandu kereta sewa bertanyakan restoran seafood yang terkenal di sini. “Pak, elok sahaja mampir ke Jimbaran” ujar Pak Bambang, mesra. Semenjak itu, nama Jimbaran sentiasa bermain-main di benak fikiranku.

Jimbaran

Peluang untuk ke Jimbaran datang pada hari kedua. Kami bercadang untuk makan malam di sana. Kami menghubungi Pak Bambang sejak dari awal pagi lagi bagi menempah kenderaan. Tepat jam 6.30 petang, Pak Bambang muncul. Kami bertiga (termasuk anak kecilku berusia 5 bulan) bergegas masuk ke dalam kereta. Cuaca agak baik pada hari itu.

Perjalanan ke sana memakan masa hampir setengah jam. Tatkala sampai di Jimbaran, kami merasa agak teruja. Kelihatan satu deretan panjang kedai seafood, mengadap laut lepas yang membiru airnya. Ombak pula bermain-main di gigi air bersama ketam-ketam kecil yang berlari riang di atas hamparan pasir pantai yang putih melepak. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa seolah-olah berkata “Selamat datang bapak-bapak, ibu-ibu”.

Disambut mesra

Aku meminta pandangan Pak Bambang untuk memilih restoran yang bersesuaian. Kami  masuk ke sebuah restoran yang dicadangkan oleh Pak Bambang. Sekumpulan gadis berpakaian sopan menyambut kami. Tanda hormat ala Bali dipersembahkan. Dua kuntum bunga Cempaka dihulurkan dan diselitkan di telinga kami berdua. ”Aduh! Kenapa sih, bunga-bunga ini” Aku agak teruja kerana belum pernah berhadapan dengan pengalaman sebegitu. Isteriku menjeling lembut seraya tersenyum.

Aku lihat pelanggan belum begitu ramai. Mungkin malam masih awal. Aku memilih satu meja yang berhampiran dengan desiran ombak. Kaki berlantaikan pasir-pasir halus. Kepala beratapkan hamparan langit malam yang semakin kelam gelap. Cuma kelihatan beberapa butir bintang bergantungan di dada langit. Seorang pelayan lelaki datang dengan sopan menyalakan lilin wangi yang sudah tersedia di atas meja. Kami duduk sebentar menikmati keindahan alam ciptaan Tuhan. Seorang lagi pelayan lelaki menghampiri kami, menatang bersama-sama dua gelas air oren segar buat pembuka selera. Senyuman sentiasa terukir di bibir, mungkin teruja melihat kedatangan pelanggan yang sama warna kulit dan perawakan.

Memesan seafood

Aku beredar ke tempat pesanan. Aku teruja melihat simpanan hasil-hasil laut yang begitu segar. Udang, ketam, ikan jenahak, ikan merah, kerang-kerangan, sotong… ah namakan sahaja segala seafood.. semuanya tersedia di situ. Ketam pula masih lagi hidup kehijau-hijauan, umpama baru dituai oleh sang nelayan. Aku kagum. Namun, aku sedar Pulau Bali merupakan sebuah perkampungan nelayan. Oleh itu, sudah tentulah semua seafoodnya segar-segar, hijau-hijau..

Aku memesan semua jenis seafood yang ada di situ serba sedikit. Kami ingin merasa kesemuanya. Aku kembali ke meja makan. Sungguh seronok berdating dengan isteri dan anak kecilku setelah sekian lama tidak menyendiri begitu. Selang setengah jam, makanan pun sampai. Aromanya begitu menusuk hidung. Dengan bacaan bismillah, kami mula membedal.

Hidangan yang paling tidak boleh aku lupakan adalah ketam. Aduh! Manis betul isinya. Aku lupa jenis masakan yang aku pesan, tapi masakan itu membuatkan aku betul-betul mengerti makna kemanisan isi ketam! Sungguh puas.

Persembahan

Semasa kami makan, kelihatan beberapa kumpulan kugiran berjalan-jalan bebas di celah-celah meja pelanggan yang semakin ramai. Kumpulan kecil yang terdiri dalam empat hingga lima orang itu menawarkan khidmat untuk menyanyikan lagu secara live! Ramai juga yang menggunakan perkhidmatan mereka. Usai persembahan, biasanya sedikit bayaran dikenakan bergantung kepada keikhlasan pelanggan. Aku tidak mengendahkan sangat kumpulan-kumpulan itu. Bagiku, desiran ombak dan tiupan angin pantai sudah cukup untuk menyanyi, memberikan suasana romantis buat pasangan kami berdua. Anak kecilku pula sungguh memahami kali ini. Diam sahaja seribu bahasa. Mungkin menghargai detik-detik mesra yang dinikmati oleh sang ibu dan ayah.

Kami menghabiskan hampir tiga jam di sana. Satu persatu pesanan tambahan kami pinta. Pelayan di situ pula sentiasa tersenyum, tidak pula menunjukkan tanda-tanda marah dek lamanya kami bertamu di situ. Pak Bambang pula setia menunggu kami di luar. Puas kami memujuknya untuk ikut serta, namun dia menolak dengan baik. Aku tahu dia cukup berpengalaman dan profesional dalam membawa tetamu-tetamu Bali sebelum ini.

Tiba masa untuk membayar bil!

Usai makan, tibalah waktu membayar. Aku tiba-tiba merasa sedikit gerun. Aduh! Berapa pula bilnya ye? Kalau di Kuala Lumpur, rasanya hidangan sebegini boleh mencecah RM500 ringgit!. Aku menunggu bil dengan penuh debar. “Pak, ini bilnya” si gadis cilik itu memecah keheningan malam yang semakin larut. Aku melihat catatan di situ. Rupiah330,000. Aku mencongak dalam kepala, cuba mengiranya dalam ringgit Malaysia. Lebih kurang RM100! Biar betul! Murahnya.. aku berbisik perlahan kepada isteriku. Dia pun agak terkejut dengan kiraan tersebut. Sungguh di luar dugaan, sedangkan Bali adalah sebuah pulau pelancongan.

Aku membayar bil dengan senang hati. Beberapa lauk-pauk yang tidak habis aku minta dibungkuskan. Alhamdulillah, selesai satu misi makan seafood di Jimbaran, Bali…Namun, aku mula mengimpikan sebuah Jimbaran di negaraku Malaysia..

Bersambung..

Koleksi artikel berkaitan. Klik di sini.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s