Penerbitan artikel jurnal: Satu perkongsian pengalaman (siri empat belas)

Sambungan daripada artikel sebelum ini. Klik di sini.

Artikel diterbitkan di AJHTLE

Selepas menghantar manuskrip yang telah diperbaiki kepada AJTLHE, komunikasi saya dengan pihak jurnal terhenti. Nota terakhir yang saya terima berbunyi “Pihak kami telah menerima emel dari pihak tuan, kami akan memaklumkan kepada tuan untuk penerbitan artikel tersebut dalam masa terdekat ini.” Saya teruja dan ternanti-nanti.

Namun, pemberitahuan itu tidak juga kunjung datang. Saya seperti biasa meneruskan tugas rutin, menulis bab lima tesis PhD. Dalam sela-sela masa terluang, saya membuka laman web AJTLHE, tumpuan saya hanyalah satu, iaitu pada pautan Current Volume.

Akhirnya…

Sehinggalah pada satu hari, saya ternampak artikel saya telah diterbitkan! (klik di sini untuk melihat abstrak). Satu artikel seorang teman baik dari UiTM kampus Dungun juga turut tersenarai. Artikelnya pada kedudukan nombor dua, manakala artikel saya pada kedudukan nombor lima daripada enam artikel yang terpilih pada kali ini. Saya tidak mengetahui beliau juga menghantar artikelnya ke sini. Kami pernah bersama-sama dahulu mengusahakan satu penulisan Kamus Akhbar Bahasa Arab (klik di sini). Saya sebagai penulis pertama dan dia sebagai penulis kedua. Begitu juga, tesis sarjana kami adalah saling lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain, iaitu kajian berkaitan dengan terjemahan kata tugas bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Memuat turun artikel

Pantas sahaja saya memuat turun artikel ini melalui laman web jurnal. Ini kerana jurnal AJTLHE terindeks dalam DOAJ (rujuk siri 11). Semua artikel yang terindeks dalam DOAJ boleh diperolehi secara percuma.

Saya seperti biasa, mencanangkan berita gembira ini kepada rakan Facebook. Seperti kelaziman, bertalu-talu ucapan tahniah menerpa. Secara tiba-tiba, satu ucapan tahniah muncul di skrin komputer melalui pesanan yahoo! messenger. Satu mesej pendek daripada Azman. “Tahniah syeikh, artikel anta dah publish tu” ringkas penuh makna. Mungkin beliau mengetahuinya melalui laman web jurnal secara langsung. Saya tersenyum syukur.

Saya juga mengucap tahniah kepada beliau kerana artikelnya pun turut dimuatkan dalam edisi kali ini. Menarik bukan, apabila dua artikel berbeza mewakili dua orang rakan  berpadu dalam satu keluaran. Seolah-olah saya tidak keseorangan dalam dunia akademik ini. Saling sokong menyokong, saling memberi semangat antara satu dengan yang lain..

Salinan kepada penyelia

Seperti biasa, saya mengirimkan satu salinan teks penuh artikel kepada penyelia. Kali ini, saya memasukkan juga nama penyelia kedua. Beliau juga sangat berjasa dalam kajian ini. Tanpa kelibat beliau, kajian ini tidak akan dapat berdiri kukuh seperti sekarang. Malah, sebelum saya menghantar artikel ini dahulu pun, saya  juga memohon jasa beliau untuk membaiki dan menyemaknya. Peranan mereka berdua cukup besar dan signifikan. Cuma saya ‘terlupa’ untuk memasukkan nama penyelia kedua dalam artikel yang pertama di IJAES kerana saya pada ketika itu hanya sekadar mahu mengukur sejauh mana kedalaman lautan dunia penulisan ini. Saya hanya sekadar mahu test market sahaja!. Saya tidak menjangkakan kail itu menghasilkan tangkapan!

Seperti biasa penyelia meniupkan kata-kata perangsang untuk saya terus berkarya. Penyelia kedua juga turut menitipkan kata-kata semangat. Biar api semangat itu terus marak menjulang tinggi!.

Pemberitahuan daripada AJTLHE

Pemberitahuan penerbitan daripada pihak jurnal tidak juga kunjung tiba. Saya pasrah. Mungkin pihak jurnal terlupa agaknya. Namun, saya terkejut tatkala saya berhenti di pejabat di Akademi Pengajian Bahasa UiTM Shah Alam. Di dalam pigeon hole, saya mendapati sepucuk surat bersampul coklat. Tertulis di atasnya Pusat Perkembangan Akademik, UKM.

Dengan perasaan tertanya-tanya, saya terus membuka surat tersebut. Rupa-rupanya, ia adalah surat pemberitahuan yang saya nanti-nantikan selama ini. Surat pemberitahuan dan penghargaan bertarikh lama dahulu, daripada pihak AJTLHE kepada para penulis dengan bersaksikan tandatangan Prof. Amin sendiri sebagai editor eksekutif jurnal.

Pastikan alamat surat menyurat anda!

Saya kesal kerana berprasangka negatif. Silap saya juga kerana pada awal-awal dahulu saya meletakkan alamat urusan surat menyurat menggunakan alamat pejabat. Saya sepatutnya menggunakan alamat rumah kerana saya sekarang sedang cuti belajar. Oleh itu, saya jarang sekali pergi ke UiTM melainkan sekiranya terdapat tugasan yang perlu dilangsaikan.

Saya belajar sesuatu pada hari ini dan akan terus belajar!

Bersambung..

Koleksi artikel penuh. Klik di sini.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s