Penerbitan artikel jurnal: Satu pengalaman peribadi (siri empat)

sambungan dari artikel sebelum ini. Klik di sini.

Berkenalan dengan jurnal

Sebaik sahaja sampai di rumah, saya terus meneliti laman web Gema Online Journal. Kali pertama saya bersua muka dengan jurnal tersebut. “Rupa-rupanya, sebelum ini beberapa artikel penyelia saya telah tersiar di dalam jurnal ini. Wah, artikel teman saya, Kamarul pun baharu sahaja terbit.” Terpampang di muka depan laman web jurnal ‘The title is now indexed in SCOPUS’. Satu pernyataan yang menimbulkan rasa gerun dan rendah diri.

Nasihat teman baik

Tanpa berlengah, saya terus menelefon Kamarul, bertanyakan prosedur penulisan artikel di Gema Online Journal. Dengan senang hati, teman itu itu menerangkan dengan teliti menerusi telefon. Telinga saya terasa bahang panas. Aduh, dah setengah jam saya berbual. Tidak terasa perjalanan masa. Nasib baik telinga saya tidak terbakar oleh telefon bimbit sendiri.

Di penghujung perbualan, beliau mengingatkan tentang kesukaran untuk menerbitkan artikel di jurnal ini, lantaran statusnya yang terindeks dalam SCOPUS. Ramai penulis akan menghantar artikel mereka ke sini. Persaingan antara penulis menjadi lebih sengit. Pihak editor juga mempunyai lebih banyak pilihan artikel untuk diterbitkan. Oleh itu, bersedialah untuk menerima hakikat artikel kita ditolak. Satu pernyataan yang ringkas, padat dan mencabar!.

Journal SCOPUS dalam bahasa Malaysia!

Saya meneliti lanjut laman web jurnal ini. “Wah! Hebat juga jurnal ini. Terindeks dalam SCOPUS tapi masih menerima artikel dalam bahasa Melayu. Jarang sekali jurnal SCOPUS sebegini” saya membuat kesimpulan tentang jurnal yang diterbitkan oleh Pusat Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM ini.

Saya membulatkan tekad dan terus menghantar artikel kedua itu ke Gema Online Journal. Notis penerimaan artikel untuk dinilai pantas diterima daripada Ketua Editor. Sungguh cekap, selayaknya dengan status SCOPUS yang dimiliki. Alhamdulillah. Terasa ringan sedikit tubuh saya ketika itu.

Berita dari IJAES

Detik berlalu dengan begitu pantas. Penulisan tesis alhamdulillah berjalan dengan lancar. Semua data telah diterima, hanya menunggu masa untuk dianalisis. Selang beberapa bulan, saya menerima perkhabaran daripada ketua editor IJAES untuk artikel saya yang pertama. Akhirnya, perkhabaran yang dinantikan buat sekian lama sudah terhidang di hadapan mata!. Dengan gementar aku membuka emel.

Saat saya melihat keputusan pihak editor, saya terus memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah. Alhamdulillah, artikel itu diterima. Namun, ia masih memerlukan pembaikan major. Saya melihat komen daripada pewasit. “Oh, patutlah” keluh saya sendiri.

Rupa-rupanya saya tersilap menganalisis data kuantitatif. Saya telah menggunakan ujian parametrik t-test untuk melihat perbezaan antara dua kumpulan pelajar. Sedangkan sepatutnya saya perlu menggunakan analisis MANOVA kerana terdapat banyak pemboleh ubah yang terlibat. Penggunaan t-test dalam konteks ini akan merendahkan lagi tahap confidence level dapatan. “Aduh, ini kesilapan besar. Nasib baiklah jurnal ini masih menerima artikel ini selepas dibaiki. Jika ditolak pun saya pasrah. Memang silap diri sendiri” sayamengeluh sendiri.

Di hospital

Saya menerima perkhabaran dari IJAES semasa saya berada di hospital. Anak sulungku dimasukkan ke dalam wad atas faktor kesihatan. Pihak IJAES memberikan dua minggu untuk membaiki artikel. Wah, ini sungguh mencabar. Namun, saya tetap bersemangat kerana artikel ini adalah artikel saya yang pertama, ibarat anak sulung dalam penulisan artikel jurnal.

Saya membawa bersama-sama komputer riba ke hospital, bagi menemani saya dalam kobaran semangat untuk membaiki artikel. Biarlah komputer ini bersama-sama mencium wangian ubat-ubatan dan menyambut mesra senyuman para jururawat!

Ibarat pepatah Melayu ada berkata:

Kalau hendak seribu daya jika tak hendak seribu dalih.

Biar runtuh awan di langit, biar gegar di lantai bumi, lautan api sanggup direnangi.

Bersambung..

Artikel-artikel lain berkaitan. Klik di sini.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a comment