Penerbitan artikel jurnal: Satu pengalaman peribadi (siri dua)

sambungan dari artikel sebelum ini. Klik di sini.

Cuti belajar

Saya sekarang sedang cuti belajar bergaji penuh. Saya mengucapkan syukur kepada Allah, dan berterima kasih kepada pihak UiTM dan Kementerian Pengajian Tinggi kerana menganugerahkan kurniaan berharga ini. Saya fikir inilah masa yang paling sesuai untuk menjalankan kajian seterusnya memasarkan kajian ini ke persada luar melalui penulisan-penulisan artikel di jurnal. Saya berazam untuk menulis walaupun pihak Fakulti Pendidikan, UKM pada ketika itu belum lagi mewajibkan kepada para pelajar PhD untuk menerbitkan sekurang-kurangnya satu artikel jurnal sepertimana yang dilaksanakan sekarang.

Saya berfikir bahawa sudah menjadi tugas seorang ahli akademik untuk menghasilkan penulisan akademik. Penulisan ini nantinya akan menjadi rujukan dan ikutan ramai. Tugas ini sudah lama dipikul oleh para ilmuan terdahulu. Mereka telah menghasilkan ribuan karya penulisan sehingga boleh dinikmati oleh genarasi pada masa kini. Tradisi ini harus diteruskan dan dipertahankan!

Kajian PhD

Kajian saya berkaitan dengan penilaian kurikulum. Kajian ini agak luas kerana melibatkan pelajar dan juga pensyarah. Ia juga melibatkan perjalanan kurikulum bahasa Arab lisan dari A hinggalah ke Z. Saya menggunakan lima instrumen iaitu soal selidik, temu bual, pemerhatian di dalam kelas, analisis dokumen serta ujian kemahiran lisan iaitu kemahiran mendengar dan bertutur. Soal selidik dan temu bual pula melibatkan dua pihak iaitu pelajar dan pensyarah. Lokasi kajian melibatkan seluruh cawangan UiTM di seluruh Malaysia iaitu 10 buah kampus negeri dan sebuah kampus induk di Shah Alam.

Pengumpulan data kajian

Semasa semester ketiga pengajian, saya mula mengumpul data kajian. Data pertama yang berjaya dikumpul adalah data soal selidik pelajar di UiTM Shah Alam. Data dari kampus-kampus negeri yang lain masih belum diterima, saya masih menunggu pembantu-pembantu di sana melunaskannya. Satu jumlah yang bukan sedikit, 10 buah kampus negeri termasuk di Sabah dan Sarawak. Masing-masing mempunyai masalah mereka yang tersendiri. Namun, saya terfikir yang saya sudah mempunyai data, walaupun jumlahnya adalah sedikit. Oleh itu, kenapa saya tidak mula menulis artikel. Sementelah lagi, kerangka teori dan konseptual kajian sudah saya kuasai sedikit sebanyak.

Kursus persediaan pelajar

Secara kebetulannya pada masa itu, terdapat satu kursus persediaan intensif bahasa Arab di UiTM Shah Alam yang melibatkan pelajar-pelajar perubatan tajaan JPA ke Timur Tengah. Saya mendapat idea untuk membandingkan data strategi pembelajaran kendiri antara pelajar UiTM, Shah Alam yang telah saya analisis dengan pelajar kursus intensif ini. Strategi pembelajaran kendiri merupakan subkomponen kajian saya. Saya meminta bantuan seorang rakan yang mengajar di sana untuk mengutip data. Alhamdulillah, data daripada pelajar kursus tersebut telah diperolehi dan dianalisis. Tinggal lagi, proses menulis dan menghantarnya ke jurnal.

Mencari jurnal yang sesuai

Satu hari suntuk telah saya habiskan untuk mencari jurnal yang sesuai dengan artikel ini. Pada masa itu, saya tidak kisah mengenai status SCOPUS atau ISI. Apa yang penting, artikel ini perlu dihantar ke sebuah jurnal. Akhirnya saya menemui satu jurnal iaitu International Journal of Applied Educational Studies (IJAES) diterbitkan oleh Gulf University for Science & Technology di Kuwait. Mungkin silap saya juga pada masa itu kerana memfokuskan pencarian pada jurnal-jurnal di negara Arab. Memang sukar untuk mencari jurnal tentang pendidikan bahasa Arab di sana.

Bahasa Inggeris

Cabaran kedua menyusul. Saya harus menulis dalam bahasa Inggeris!. Wah, sudah lama saya tidak menulis dalam bahasa Inggeris, lagi-lagilah dalam laras penulisan akademik. Kali terakhir saya menulis dalam bahasa Inggeris adalah semasa mengambil ujian IELTS bagi tujuan mendapatkan biasiswa ini. Walaupun keputusan IELTS itu agak membanggakan, namun saya masih kurang keyakinan untuk menulis artikel jurnal. Ya Allah.. bantuanMu!

Pengalaman pertama menulis

Saya menggagahkan diri untuk menulis dalam bahasa Inggeris. Saya merujuk artikel-artikel contoh bagi mendapatkan rentak dan semangat. Akhirnya, dalam masa tiga hari, saya berjaya menyiapkan artikel sulung itu. “Alhamdulillah, dah siap” saya mengeluh perlahan. Namun, saya masih merasa bimbang jika  tersalah tulis, lebih-lebih lagi dalam penggunaan laras akademik bahasa Inggeris. Maklumlah, saya tidak pernah mengikuti mana-mana kursus penulisan akademik. Bidang saya pula adalah bahasa Arab dan bukannya bahasa Inggeris.

Saya harus menempuhi rintangan ini dengan sebaiknya. Lalu saya dengan rasa rendah diri memohon seorang teman, pensyarah bahasa Inggeris di Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Shah Alam untuk membetulkan bahasa. Saya tahu beliau seorang pakar dalam penulisan buku walaupun mungkin agak kurang dalam penulisan artikel jurnal. Beliau dengan senang hati membetulkan tulisan itu. Alhamdulillah…

Maklum balas pertama

Kali pertama saya mendapat maklum balas beliau, sayaterpaku. Diam tanpa kata-kata. “Banyaknya silap, lebih merah daripada biru ni..huhu”. Terasa seperti saya kembali semula ke darjah tiga, sekolah rendah. Namun, saya menebalkan muka demi sebuah proses yang panjang. “Sabar, Ghazali. Ini adalah satu proses” saya memujuk diri sendiri. Saya memohon mentor itu supaya mengajar lanjut. Beliau dengan senang hati menerangkan  satu persatu, helaian demi helaian, struktur bahasa Inggeris yang lebih tepat dan lebih crunchy, walaupun bahasa saya sebenarnya sudah boleh diterima. Saya menerima pengajaran itu dengan senang hati. Ceria dalam kepeningan. Saya telah mempelajari banyak perkara  daripada beliau. Beliau begitu bermurah hati meluangkan masa walaupun aku tahu jadual beliau sangat padat. Saya beruntung mempunyai teman sebegitu.

Buah cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Bersambung..

artikel-artikel lain yang berkaitan, klik di sini.

This entry was posted in artikel jurnal and tagged . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s