Bicara tentang iman – Kebenaran al-Quran

‘Aduh, hebatnya orang ini berbahasa, siapakah gerangan yang mengajar manusia ini berbicara’ bisik hati seorang tokoh bahasa musyrikin tatkala pertama sekali mendengar Muhammad saw mengalunkan bacaan al-Quran.

‘Wah, bacaan apakah ini? Belum pernah kudengar bacaan yang sebegini hebat!’ getus hati Umar al-Khattab tatkala mendengar bacaan al-Quran di rumah adiknya. Hatinya terusik hebat. Terganggu niat asalnya untuk memukul adiknya sendiri lantaran tindakannya memeluk agama Muhammad saw.

Keaslian al-Quran

Hebat bahasa al-Quran, justeru ia datang dari Allah yang Maha Hebat. Bahasanya mampu mengetuk pintu sesiapa sahaja yang membaca dan mendengarnya. Membacanya tidak mendatangkan jemu, walaupun entah yang ke berapa kali sudah dialunkan bacaan yang sama. Ambil sahaja bacaan al-Fatihah, pastinya tidak kurang daripada 17 kali diulang dalam sembahyang setiap hari. Ia tetap berbisa, malah tiada rasa jemu untuk mengalunkannya, biarpun maknanya kurang dimengertikan!.

Allah yang menurunkan al-Quran, Allah jugalah yang mencipta manusia dan juga sekalian makhluk yang lain. Tuhan kepada manusia, juga tuhan kepada semua makhluk yang berada di bumi ini dan juga di seluruh cakerawala. Atas sebab itulah, bicara Allah di dalam al-Quran begitu meresap ke dalam jiwa setiap makhluk yang mendengarnya. Nah, cuba bandingkan dengan bicara makhluk. Ambil sahaja lagu yang paling enak didengar sepanjang musim. Cuba dengarkan lagu itu selama beberapa hari, pastinya lambat laun ia akan mendatangkan jemu dan bosan.

Bukankah ini sendiri sudah menunjukkan mukjizat al-Quran yang maha hebat?

Tuduhan musyrikin

Namun, al-Quran merakamkan tuduhan puak musyrikin Mekah bahawa Muhammad saw bertanggung jawab mencipta al-Quran, walhal mereka mengetahui Muhamad saw itu seorang yang buta huruf. Al-Quran yang maha hebat itu dicipta oleh seorang yang buta huruf? Logik akal tentu sahaja pantas menolak kemungkinan itu.

Allah taala mengkhabarkan

Allah taala yang memiliki al-Quran, juga memiliki segala makhluk di muka bumi ini, malah memiliki segala jisim di cakerawala ini. Cuba perhatikan kejadian fizikal kita, alangkah harmoninya setiap anggota kita memainkan peranan dan fungsi masing-masing. Hati, jantung, buah pinggang, darah, otak malah saraf-saraf yang halus itu, masing-masing mempunyai peranan tersendiri. Tiada satupun yang memberontak dan menolak peranan mereka.

Perhatikan ekosistem kehidupan kita. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, udara, cahaya dan tanah, semuanya mempunyai fungsi masing-masing. Maha hebat ciptaan ini, begitu hebat jugalah al-Quran yang diturunkan. Kesemuanya berpunca dari Zat yang sama. Nah, cuba datangkan kelemahan al-Quran, tiada seorang pun yang berani tampil dengan bukti. Kerana ia maha sempurna, kerana ia KALAMULLAH..

Manusia mencari

Manusia kelihatannya sibuk membuat penemuan sains. Pelbagai kajian dilakukan bagi merungkai rahsia alam. Sedangkan kesemua fakta sains itu sudah wujud sejak sekian lama. Manusia yang lemah ini hanya menemukannya pada ketika ini. Ya, sebenarnya, dunia ini penuh dengan misteri sains yang sehingga kini belum terungkai oleh para saintis manusia. Begitu juga dengan al-Quran, misterinya belum lagi terungkap oleh para ilmuan. Malah ada sahaja kedapatan penemuan-penemuan baru yang terungkap saban masa. Bukankah itu yang dinamakan mukjizat?

Kejadian manusia

Manusia sendiri masih belum memahami penciptaan dirinya sendiri sehinggalah ke hari ini! Nah, al-Quran pada lebih 1400 tahun yang lampau menyatakan bahawa Adam as dicipta daripada tanah. Tanah adalah teras penciptaan kita. Oleh itu, tidak ganjil bukan sekiranya kehidupan seharian manusia adalah berasaskan tanah. Perhatikan makanan dan minuman kita, bukankah semuanya berasal daripada tanah? Tumbuh-tumbuhan hidup di atas tanah, malah haiwan juga memanafaatkan hidupan di atas tanah untuk terus hidup.

Al-Quran mengkhabarkan bahawa selepas Adam as, zuriat keturunan manusia membiak melalui funsi sejenis pati yang dinamakan air mani. Ya, al-Quran menamakannya dengan sebutan pati. Sememangnya ia adalah pati justeru ia mengandungi berjuta-juta benih yang aktif. Namun, adakah manusia pada 1400 tahun yang lalu mengerti akan perkara ini? Adakah mereka mempunyai mikroskop untuk melihat sel-sel yang kaya di dalam pati ini? Maha suci Allah yang mengkhabarkan perkara ini lama sebelum penemuan sains mengesahkan perihal ini.

Perkembangan janin di dalam rahim

Tiada manusia yang mampu menjelaskan dengan terperinci perkembangan janin di dalam rahim sang ibu. Apatah lagi pada 1400 tahun yang lampau. Nah, perhatikan baik-baik ayat ke-9 dalam surah as-Sajadah. Allah dengan tegas menyatakan bahawa penciptaan manusia dibekalkan dengan pendengaran, penglihatan dan akal fikiran. Sungguh menakjubkan  apabila al-Quran mendahulukan sifat mendengar terlebih dahulu, disusuli pula oleh penglihatan dan akal fikiran.

Wah, hebat sungguh al-Quran. Kehebatannya bukan sahaja dari segi susunan dan pemilihan perkataan, tetapi juga kandungan saintifiknya yang melangkaui masa. Sains pada hari ini membenarkan bahawa deria pendengaran janin berkembang terlebih dahulu sebelum deria penglihatan dan akal fikiran. Bilakah manusia berjaya membuktikan bahawa janin itu boleh mendengar? Maha suci Allah yang al-Quran dengan penuh ketelitian dan rahsia yang mencabar akal manusia.

Penciptaan Allah mempunyai rahsia yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia. Al-Quran yang merakamkan sebahagian rahsia ini pastinya mustahil dicipta oleh Muhammad saw. Nikmat Allah yang mana lagikah yang kita dustakan?

This entry was posted in Bersama al-Quran. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s