Bicara tentang iman – persoalan mengenai hari kebangkitan

 

‘Mana mungkin manusia akan dibangkitkan kembali selepas mati’ hujah profesor atheis itu. ‘Cuba berikan kepada saya contoh-contoh manusia yang telah dibangkitkan selepas mati. Kesemua ajaran agama mengenai perkara ini, semuanya karut. Manusia mati adalah proses alam biasa sepertimana binatang dan tumbuh-tumbuhan lain” ujarnya berdegar-degar.

‘Macamana kami nak percaya pada tuhan kamu, sedangkan nenek moyang kami dulu pun sama macam kami juga, tak ada masalah pun’ sanggah penduduk kampung. ‘Nenek moyang kami hidup bahagia dengan kepercayaan kami, malah patung-patung ini telah memelihara kami sejak dari dahulu lagi’ tambah mereka lagi.

Hari kebangkitan

Persoalan mengenai hari kebangkitan telah lama menjadi topik perbincangan kaum musyrikin. Kewujudan kaum sebegini telah wujud sejak sekian lama lagi dan dalam pelbagai bentuk. Malah, pada hari ini, perkara ini bukan sahaja menular dalam kalangan mereka yang kurang terpelajar, tetapi juga dalam kalangan mereka yang bergelar profesor dan golongan terpelajar.

Aduh, sungguh malang sekali.. moga hidayah segera datang mengetuk hati-hati mereka..

Perkara ini telah disebut oleh Allah dalam banyak tempat di dalam al-Quran, menunjukkan bahawa persoalan ini adalah sangat penting untuk kita tangani bersama, sepanjang masa dan tempat. Antara ayat yang membicarakan perihal ini ialah ayat 10-14 Surah al-Sajadah. Dalam ayat ini, orang musyrikin didedahkan sebagai golongan yang tidak meyakini tentang kedatangan hari pembalasan.

Jahilnya manusia

‘Mana mungkin kami boleh dibangkitkan semula, sedangkan jasad kami telah hancur luluh, malah telah bersebati dengan tanah. Ah! Karut betul ajaran ini’ hujah mereka.  ‘Jika jazad fizikal sudah hancur, macamana kami boleh berjumpa dengan Tuhan’ mereka menambah. Alangkah dangkal dan ceteknya pemikiran manusia. Tidak mampu untuk berfikir melepasi batas masa dan tempat yang dia berada.

Allah mengkhabarkan kepada kita

Allah swt dengan sifat Rahmaan dan Rahiimnya mengkhabarkan kepada kita. Wahai manusia, tidakkah engkau melihat makhluk-makhluk di sekelilingmu? Tidakkah engkau melihat muka bumi tempatmu bermukim itu? Cuba lihat bumimu yang dahulunya pernah kering kontang, tiada kehijauan, tiada kehidupan. Cuba perhatikan….

Namun setelah bumi itu disirami air, maka muncullah tumbuh-tumbuhan dengan galak sekali umpama cendawan selepas hujan. Malah hidupan itu pula menjadi makanan haiwan ternakan dan juga manusia!

Fikirkanlah…renungkanlah.. ambillah masa untuk menambah iman di dada..

Andainya tumbuhan mampu muncul tiba-tiba daripada celahan tanah yang gersang dan kering kontang setelah disirami air, adakah kita berani berkata bahawa kita adalah berbeza daripada tumbuhan itu? Sedangkan hakikatnya,  jasad kita juga sebenarnya tidak jauh beza daripada tumbuh-tumbuhan, punya sel-sel dan rupa bentuk hidup yang boleh muncul kembali dengan siraman tertentu persis siraman air tersebut. Jangn juga lupa, jasad manusia juga mempunyai unsur-unsur tanah!

Andainya, tumbuhan boleh dihidupkan kembali daripada saki baki benih yang tersisa, maka apa bezanya dengan manusia, boleh juga dibangkitkan daripada saki baki DNA mereka.

Malah, andainya DNA manusia terhapus sekalipun, Allah berkuasa menjadikan kita semula daripada alam kematian setelah mana Allah mampu menjadikan kita daripada tiada langsung di muka bumi ini. Secara logiknya, mewujudkan sesuatu yang tiada langsung tentu lebih sukar daripada menghidupkan semula apa yang telah ada… Maha suci Allah taala.

Kita bakal kembali kepada Allah

Saban hari kita disesakkan telinga dan fikiran dengan berita kematian. Berapa ramai sudah rakan seangkatan kita telah mendahului kita. Perhatikan di sekeliling kita…rakan-rakan, teman sepermainan, jiran-jiran kerana kita juga bakal menyusul…

Allah menegaskan bahawa kesemua manusia akan KEMBALI kepada Allah setelah melalui proses kematian. Perkataan kembali memberikan kita kefahaman bahawa kita semua sebenarnya bukanlah makhluk asal di atas muka bumi ini, tetapi kita hakikatnya adalah milik Allah taala. Tempat asal kita adalah di syurga! Bukankan moyang kita dulu berasal dari sana…

Oh.. sungguh beruntung mereka yang dapat kembali ke tempat asal masing-masing…

Nasib orang musyrikin pada hari pembalasan

Allah menceritakan peristiwa yang bakal berlaku di hari pembalasan. Kedegilan orang musyrik di dunia akan terbalas di akhirat nanti apabila mereka masing-masing menundukkan kepala mereka di hadapan Allah.. mohon dikembalikan ke dunia semula untuk membuat kebaikan, setelah mereka menyaksikan sendiri kebenaran Rasulullah saw dan ajaran-ajaran baginda di akhirat nanti. Namun, sesalan itu tiada gunanya lagi. Malah Allah dengan tegas menyediakan seksaan abadi kepada mereka atas kedegilan yang mereka pertontonkan. Pada hari itu, Allah melupakan mereka, tiada lagi rahmat dan kasih sayang, sebagaimana mereka melupakan Allah semasa di dunia dahulu.

Moga Allah melindungi kita dan keluarga kita daripada mempunyai sifat degil terhadap kebenaran..

This entry was posted in Bersama al-Quran. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s